Anda di sini

SPRM seru ahli politik isytiharkan harta

Advertisement
TANDATANGAN: Amirudin (kiri) bersama Ketua Persuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya (kanan) ketika hadir pada Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Selangor 2019 di Dewan Jubli Perak Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di Shah Alam, semalam. — Gambar bernama

SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyeru semua ahli politik yang mempunyai akses kepada dana awam, supaya mengisytiharkan harta masing-masing, sebagai usaha mengelak berlaku kegiatan rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata langkah itu juga perlu, bagi mengelakkan tohmahan bahawa seseorang ahli politik itu terlibat dalam kegiatan rasuah.

“Saya ingin tekankan ahli-ahli politik yang mempunyai akses kepada dana awam yang mendapat peruntukan kawasan dan sebagainya, tetap dikehendaki untuk isytihar harta.

“Saya juga seru setiap kerajaan negeri bukan sahaja Selangor, untuk isytihar harta yang mana tidak terhad kepada Exco (Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri) tetapi juga kepada ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) dan ahli majlis (Pihak Berkuasa Tempatan),” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan barisan Exco kerajaan Selangor melafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) pada majlis perhimpunan bulanan jabatan negeri semalam.

Lafaz dan tandatangan IBR itu diketuai Menteri Besar, Amirudin Shari.

Mengulas lanjut, Latheefa berkata pengisytiharan harta oleh ADUN dan ahli majlis itu perlu dibuat, kerana negeri mempunyai  sumber kewangan yang tinggi, sekali gus membuka lebih banyak peluang terhadap berlakunya kegiatan rasuah.

“Negeri-negeri ada sumber lebih tinggi contohnya Selangor, yang merupakan antara negeri terkaya dan akses terhadap dana (awam) juga tinggi,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kenyataan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, yang tidak bersetuju dengan inisiatif kerajaan mewajibkan ahli Parlimen termasuk pembangkang, mengisytiharkan harta masing-masing susulan mereka juga mempunyai sumber pendapatan lain, selain elaun ahli Parlimen, Latheefa berkata pengisytiharan itu adalah bagi memberi keadilan kepada semua ahli Parlimen.

Katanya, setiap ahli Parlimen tetap disarankan untuk mengisytiharkan semua sumber pendapatan mereka walaupun ia dari sumbangan derma atau harta pusaka.

“Kita mahu berlaku adil kepada kamu, kalau ada sumber lain selain gaji, lebih baik anda isytiharkan... kita tak isytiharkan harta sahaja, tetapi juga liabiliti.

“Ini langkah asas untuk memerangi rasuah dan untuk kebaikan sendiri, bagus untuk isytiharkan supaya orang tidak salah sangka,” katanya. — Bernama

Advertisement