Anda di sini

RM500,000 peruntukan bagi kekalkan Sabah bebas rabies

Advertisement
 Daud (dua kanan) menerima cendera kenangan daripada Peter.
CENDERAHATI: Daud (dua kanan) menerima cendera kenangan daripada Peter.

KOTA KINABALU: Sejumlah RM500,000 diperuntukkan Kerajaan Sabah bagi memastikan negeri ini kekal bebas daripada jangkitan penyakit rabies.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Junz Wong berkata, walaupun terdapat peruntukan diberikan bagi mencegah kemasukan penyakit itu di Sabah, tetapi kerjasama daripada orang awam masih diperlukan.

"Orang awam perlu memberikan kerjasama dengan melaporkan setiap kes gigitan anjung, ia penting agar kes kematian manusia dapat dicegah.

"Menurut laporan terkini, Sarawak mencatatkan 19 kematian sejak wabak rabies yang diisytiharkan pada 1 Julai 2017 di negeri itu," katanya ketika merasmikan Seminar Zoonotik 2019, di sini semalam.

Teks ucapannya disampaikan oleh Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Dr Daud Yusof.

Junz berkata, orang awam perlu sedar dan faham bahawa haiwan kesayangan (anjing/kucing) dari Sarawak atau negeri, atau negara yang positif rabies adalah dilarang sama sekali dibawa masuk ke Sabah.

Katanya, sekiranya orang awam ingin mengimport haiwan atau produk haiwan berkenaan, sila pastikan permit import diperolehi dari  Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Sabah.

"Vaksinasi anjing untuk Rabies boleh dilakukan di klinik haiwan kesayangan swasta dengan bayaran tertentu.

"Sementara, vaksinasi rabies percuma oleh JPV Sabah hanya dilaksanakan di kawasan sempadan berisiko tinggi seperti di Nabawan, Pulau Sebatik, Kalabakan, Sipitang serta kawasan lain di Sabah," katanya.

Sementara itu, Pengarah JPV Sabah Dr Peter AK Lee berkata, seminar yang diadakan kali ini bertujuan menyampaikan maklumat mengenai penyakit zoonotik berkepentingan kepada Sabah, khususnya pemegang taruh, penternak, badan bukan kerajaan berkaitan, pemain industri serta mereka yang berkaitan.

"Dianggarkan 70 peratus penyakit yang menjangkiti manusia adalah zoonotik iaitu penyakit boleh saling menjangkiti di antara manusia dan haiwan.

"Jangkitan penyakit zoonotik kepada manusia berkenaan bukan semuanya disebabkan penyakit baharu, sesetengahnya sudah lama dikesan dan berada di persekitaran mahupun haiwan dalam keadaan keseimbangan," katanya.

Menurutnya, perubahan kepada persekitaran menyebabkan kemunculan semula semua penyakit yang sekian lama tidak dilaporkan kepada manusia.

  • oleh
  • Advertisement