Anda di sini

Produk Sarawak diminati

Advertisement
 Uggah meukul gong ketika melancarkan GPS DUN Serembu semalam.
RASMI: Uggah meukul gong ketika melancarkan GPS DUN Serembu semalam.

BAU: Singapura menunjukkan minat untuk membeli produk Sarawak seperti udang, terung asam, jambu batu dan ikan tilapia.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata Singapura menunjukkan minat ini semasa pelancaran Pejabat Pelancongan dan Perdagangan Sarawak, Singapura (STATOS) di republik itu baru-baru ini.

“Minat yang ditunjukkan Singapura merupakan permulaan yang baik. Para petani dan usahawan Sarawak harus memanfaatkan sepenuhnya peluang berkenaan,” ujarnya ketika merasmikan pelancaran Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Serembu di Dewan Serba Guna Kampung Skio di sini semalam.

“Sarawak sudah mengeksport 1,200 babi hidup setiap minggu ke Singapura.

“Permintaan ini dijangka akan meningkat tidak lama lagi.

“Memandangkan Sarawak kini mempunyai pasaran baharu untuk udang, terung asam, jambu batu dan tilapia, kita harus memastikan jumlah produk berkenaan sentiasa cukup.

“Pada masa yang sama, kita tidak boleh mengabaikan kualiti kerana dengan kualiti, kita boleh menembusi pasaran luar,” katanya.

Uggah berkata kedua-dua aspek itu dapat dicapai dengan mengamalkan kaedah pertanian berteknologi moden seperti fertigasi.

Sejak akhir-akhir ini, beliau menasihati wakil-wakil terpilih GPS untuk melaksanakan program-program bersesuaian di kawasan mereka sebagai usaha menggalakkan golongan belia melibatkan diri dalam pertanian.

Beliau juga berkata kerajaan kini sedang dalam proses mengubah sektor pertanian negeri menerusi pertanian moden.

Melalui perubahan tersebut, Sarawak akan menjadi pengeksport utama sumber makanan menjelang 2030, seiring dengan aspirasi Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, menegaskan misi ini memerlukan sokongan dan penyertaan semua pihak termasuk wakil rakyat.

Pada majlis itu juga, Uggah mengumumkan geran RM500,000 diluluskan untuk mengusahakan halia, nanas dan jagung muda di kawasan terbabit.

Beliau turut meluluskan RM100,000 daripada Unit Agama-Agama Lain (UNIFOR) bagi menaik taraf Gereja Katolik St Edward.

Menyentuh mengenai GPS, beliau berkata Abang Johari membentuk GPS untuk membolehkan beliau, ahli kabinet, semua wakil rakyat dan mereka yang berkaitan melindungi hak dan kekayaan Negeri ini di samping mencatat kemajuan dan perkembangan GPS.

“Dengan memiliki parti politik kita sendiri, ia merupakan satu langkah berani dan berwawasan kerana GPS bukanlah sebahagian daripada sistem politik arus perdana di negara ini.

“Beliau (Abang Johari) melakukan sedemikan untuk memastikan Sarawak terus diperintah oleh pemimpin tempatan yang sememangnya tahu dan faham akan negeri sendiri berbanding orang luar,” tambah beliau.

Atas sebab ini, Uggah menyeru rakyat memberi sokongan penuh kepada kerajaan GPS.

Menyentuh mengenai Serembu pula, Uggah yakin ia akan kekal sebagai kubu GPS kerana wakilnya, Miro Simuh berjaya membuktikan beliau pemimpin yang komited dan baik.

“Miro telah membawa banyak projek pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Undilah dia dalam pilihan raya negeri yang akan datang supaya dia boleh membawa lebih banyak pembangunan dan kemajuan,” katanya ketika mengulas mengenai isu tanah NCR, Uggah berkata beliau gembira apabila Menteri Kerja Raya Baru Bian daripada kerajaan PH bersetuju memberi peruntukan persekutuan RM10 juta. Peruntukan itu harus digunakan pada tinjauan perimeter di bawah Seksyen 6 sebelum berpindah ke Seksyen 18.

Beliau berkata Seksyen 6 pada dasarnya bertujuan memutuskan antara tanah negeri dan NCR.

“Tetapi sesetengah orang menuduh kami menggunakan Seksyen 6 untuk merampah tanah.

“Polisi kami adalah untuk mengenal pasti tanah negeri dan tanah NCR.

“Dengan menggunakan kaedah ini, kami telah berjaya mengisytiharkan kira-kira 900,000 daripada anggaran 1.5 juta hektar sebagai tanah NCR di negeri ini dari 2010 hingga kini,” katanya.

Ketua Pemuda GPS Gerald Rentap Jabu, ADUN Tasik Biru Datuk Henry Harry Jinep, ADUN Serembu Miro Simuh dan ADUN Bukit Semuja John Ilus merupakan antara yang hadir pada perhimpunan itu.

  • oleh
  • Advertisement