Anda di sini

Polis yakin kes pembunuhan George Tang selesai

Advertisement
 Lim menunjukkan sebahagian rangka lori berjaya ditemui di Tukau, Bakam semalam.
DITEMUI: Lim menunjukkan sebahagian rangka lori berjaya ditemui di Tukau, Bakam semalam.

MIRI: Polis yakin kes pembunuhan George Tang, 60, yang dilaporkan hilang pada 29 Jun lalu berjaya diselesaikan susulan penemuan lori mangsa dan keenam-enam suspek kini dalam tahanan reman.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah berkata, lori muatan tiga tan itu ditemui semalam dalam keadaan dileraikan di kawasan semak di Tukau, Bakam.

“Polis turut menemui pisau dan batang besi dipercayai digunakan suspek dalam kes tersebut.

“Selain itu, kita turut merampas sebuah kenderaan dipercayai mempunyai kaitan dengan kes tersebut,” katanya pada sidang media di Balai Polis Pusat (CPS) Miri, semalam.

Turut ditemui dalam kenderaan itu ialah kesan darah dan sampel sudah dihantar ke Jabatan Kimia untuk siasatan lanjut.

Katanya, motif pembunuhan masih dalam siasatan.

George Tang kali terakhir dilihat di Kawasan Perindustrian Piasau di sini sekitar jam 3 petang pada 29 Jun lalu.

Keluarga mangsa kemudiannya membuat laporan polis tentang kehilangannya pada hari sama selepas mangsa gagal pulang ke rumah.

Pada 2 Julai, satu sidang media diadakan di kediaman George Tang di Lutong di mana keluarganya menawarkan ganjaran RM10,000 kepada sesiapa mempunyai maklumat mengenai kedudukan mangsa dan lori dipandunya pada hari dilaporkan hilang.

Keesokannya, satu mayat tidak lengkap ditemui nelayan di Sungai Suai.

Mayat itu kemudiannya dibawa ke Hospital Miri untuk proses pengecaman namun keluarga George Tang pada ketika itu tidak dapat mengenal pasti mayat itu berikutan keadaan mayat tidak sempurna.

Ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dijalankan ke atas mayat itu dan selepas lebih sebulan, keputusan ujian dikeluarkan mengesahkan mayat ditemui itu adalah milik George Tang.

  • oleh
  • Advertisement