Anda di sini

Platform dalam talian i-Invest KWSP bolehkan pelaburan unit amanah secara terus daripada akaun

Advertisement

KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang layak kini boleh membuat pelaburan bermaklumat dana unit amanah yang ditawarkan oleh Institusi Pengurusan Dana yang diluluskan KWSP menerusi platform dalam talian i-Invest dalam portal i-Akaun.

Bagi ahli-ahli yang berusia di bawah 55 tahun, pelaburan boleh dibiayai secara langsung daripada simpanan ahli yang layak di bawah Akaun 1 dengan caj jualan daripada sifar hingga 0.5 peratus daripada jumlah transaksi.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Tunku Alizakri Alias berkata kemudahan yang dikuasakan digital memperkasakan ahli untuk mengawal pelaburan mereka dan membuat transaksi pada kos hampir sifar.

“Bagi memastikan mereka mendapat maklumat secukupnya, i-Invest mengandungi instrumen untuk mendapatkan dan membandingkan maklumat yang relevan, dan membolehkan pemilihan dana unit amanah yang betul yang sesuai dengan matlamat simpanan ahli-ahli kami.

“Kami juga berbangga kerana kami percaya KWSP adalah yang pertama di dunia yang menghubungkan secara terus dana persaraan ahli kepada perkhidmatan pelaburan dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.  

Ahli-ahli boleh memindahkan daripada Akaun 1 KWSP mereka sehingga 30 peratus daripada jumlah yang melebihi Simpanan Asas, untuk dilabur dalam dana yang layak.

Ahli-ahli juga boleh membuka akaun untuk melabur dalam dana unit amanah dengan mana-mana Institusi Pengurusan Dana menerusi kemudahan baharu ini.

Menurut Tunku Alizakri, elemen utama kemudahan pelaburan dalam talian itu adalah perubahan jualan yang kini secara praktikalnya percuma kerana KWSP telah melaksanakan had maksimum 0.5 peratus berbanding 3 peratus sekarang bagi traksaksi luar talian dan tradisional menerusi ejen.  

Sementara itu, ahli-ahli berusia 55 tahun dan ke atas boleh menggunakan i-Invest menggunakan Akaun 55 atau Akaun Emas menerusi i-Akaun sebagai cara pengeluaran, tertakluk kepada mengekalkan minimum RM1,000 dalam akaun mereka.

Bagi tempoh 2019/2020, sejumlah 389 dana daripada pelbagai kategori, iaitu ekuiti, aset bercampur, bon, pasaran wang dan amanah hartanah, diluluskan di bawah skim pelaburan ahli-ahli KWSP. — Bernama

Advertisement