Anda di sini

Piala Cabaran 2019: Sarawak ikrar tebus duka malam ini

Advertisement
 Sarawak perlu bangkit menewaskan Kelantan pada aksi Piala Cabaran 2019 di Stadium Sarawak malam ini.
PERLU BANGKIT: Sarawak perlu bangkit menewaskan Kelantan pada aksi Piala Cabaran 2019 di Stadium Sarawak malam ini.

KUCHING: Sarawak berikrar untuk mengejutkan Kelantan pada aksi kedua peringkat Kumpulan A, Piala Cabaran 2019 berlangsung di Stadium Sarawak, Petra Jaya di sini malam ini.

Pemangku Jurulatih, Mohamad Denny Da’ail berkata walaupun persediaan pasukannya tidak berada pada tahap maksima namun besar harapannya untuk melihat keputusan positif dijelmakan daripada perlawanan itu.

Menurutnya, ia juga sebagai menebus kehampaan setelah Sarawak tewas pada aksi pertama sebelum ini.

Lantas, tugas itu akan dipertaruhkan di bahu pemain-pemain muda yang akan menjadi ‘aset’ untuk kempen Liga Malaysia musim depan.

“Kita tetap fokus untuk mendapatkan kemenangan esko (malam ini), memang sebarang keputusan tidak begitu memberi impak tetapi inilah peluang untuk pemain-pemain meningkatkan mutu permainan mereka masing-masing,” katanya di sini semalam.

Mohd Denny memberitahu bahawa beliau mempertaruhkan pemain-pemain muda pada perlawanan malam ini dan ia merupakan peluang kepada mereka membuktikan kemampuan beraksi perlawanan kompetitif.

Pada perlawanan pertama, Sarawak tewas 3-1 di tangan Johor Darul Ta’azim II (JDT II) di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang pada 5 Ogos lalu.

Perlawanan kedua-dua pasukan bermula jam 8.15 malam ini.

Advertisement