Anda di sini

PGA cari pendekatan berkesan tangani jenayah rentas sempadan, culik

Advertisement
 Mancha (tiga dari kiri) menyampaikan surat penghargaan kepada salah seorang anggota PGA Beluran.
PENGHARGAAN: Mancha (tiga dari kiri) menyampaikan surat penghargaan kepada salah seorang anggota PGA Beluran.

SANDAKAN: Pasukan Gerakan Am (PGA) akan sentiasa mencari pendekatan yang lebih berkesan untuk menangani masalah seperti jenayah rentas sempadan dan penculikan.

Komander Briged Sabah Pasukan Gerakan Am (PGA) SAC Mancha Ak Ata berkata tidak dapat dinafikan pihaknya sentiasa berusaha dengan mengatur pelbagai operasi mahu pun program mengatasi masalah itu.

Beliau menyarankan anggota pasukan keselamatan khususnya PGA supaya dapat berganding bahu dan bersatu hati menjadikan usaha mengekang jenayah rentas sempadan serta penculikan agenda utama tanpa mengira apa pun kedudukan di dalam PDRM.

“Soal menangani jenayah merupakan tanggungjawab bersama dan tidak dapat dinafikan keberhasilan sesuatu kejayaan atas usaha dan kepimpinan semua pegawai yang menjadi penggerak utama di peringkat Batalion terutamanya,” katanya.

Beliau berkata peningkatan beberapa jenis jenayah di  perairan pantai timur Sabah seperti rentas sempadan atau penculikan menyebabkan rasa tidak senang kalangan masyarakat umum.

Malahan, adakalanya dijadikan isu politik oleh pihak yang tidak bertanggungjawab kerana jenayah itu berlaku di kawasan mereka, dan polis dilihat sebagai gagal menangani masalah jenayah itu.

"Di samping itu, keadaan yang berlaku sering kali diberikan tumpuan umum dan menjadi tajuk perbincangan oleh pelbagai kelompok masyarakat sekali gus berpotensi menimbulkan rasa gelisah dan mendatangkan rasa tidak puas hati masyarakat terhadap PDRM dalam membendung penularan jenayah," jelasnya dalam amanatnya sempena Lawatan Kerja ke Ibu Pejabat Batalion 20 PGA Beluran di sini, semalam.

Hadir sama ialah Pegawai Pemerintah Batalion 20 PGA Beluran ACP Mohd Nasaruddin M Nasir, Ketua Staf Briged Sabah PGA Superintendan Terrence Winkie Sikuel, Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 20 PGA Superintendan Farhan Lee, Ajutan Batalion 20 PGA ASP Zainuddin Juhaini dan beberapa pegawai kanan PGA Beluran yang terdiri daripada ketua-ketua kompeni.

Dalam pada itu, Komander Bridge Sabah PGA turut menyarankan semua anggota agar mengamalkan saranan Ketua Polis Negara iaitu memfokus sasaran gerak kerja agar persepsi negatif terhadap PDRM dapat dipulihkan.

Mancha berkata tiga sasaran gerak kerja yang perlu dilaksanakan adalah meningkatkan integriti dan akauntabiliti; mempertingkatkan tahap penyampaian perkhidmatan; dan mendukung pelaksanaan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

"Saya yakin di Batalion 20 PGA Beluran ini, saya dikelilingi oleh para pegawai, anggota dan pegawai awam yang prihatin terhadap tuntutan kerja sebagai warga sebuah pasukan keselamatan dan sentiasa peka terhadap keperluan untuk memberikan perkhidmatan kepolisan yang terbaik dalam menjalankan tugas dengan penuh amanah dan rasa tanggungjawab.

"Selain itu, kekuatan saya adalah hasil kerjasama dan sokongan tidak berbelah-bahagi daripada semua anggota PGA ke arah melestarikan kerja yang konsisten dan bermutu," katanya.

Terdahulu itu, Mancha diberikan taklimat sejurus sampai di Ibu Pejabat Batalion 20 PGA Beluran bersama Pengerusi Perkep Briged Sabah PGA Jennita Anak William sebelum beliau menghadiri Majlis Penyampaian Amanat di perkarangan bangunan ibu pejabat itu.

Seramai 17 anggota PGA Beluran telah menerima surat penghargaan disampaikan Mancha atas kejayaan operasi dan Road Check Point (RCP).

  • oleh
  • Advertisement