Anda di sini

Perbicaraan 1MDB bermula Isnin depan

Advertisement
 Najib ketika hadir pada perbicaraan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi yang memasuki hari ke-54 semalam. — Gambar Bernama
TENANG: Najib ketika hadir pada perbicaraan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi yang memasuki hari ke-54 semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan wang sama, akan bermula Isnin depan dengan keterangan lisan oleh saksi pendakwaan.

Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah mengarahkan pasukan pendakwaan supaya bersedia dengan saksi pada hari berkenaan sama ada saksi terbabit akan memberi keterangan secara lisan atau menerusi pernyataan saksi.

“Isnin (depan) kita akan memulakan dengan keterangan lisan. Harap sediakan saksi,” kata Hakim Sequerah.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan menjelaskan bahawa  tiga saksi pertama mereka adalah saksi substantif (saksi utama yang akan memberi keterangan menerusi pernyataan saksi).

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, peguam utama bekas perdana menteri itu, berpendapat bahawa persediaan berkaitan pernyataan saksi memerlukan beliau dan anggota pasukannya untuk membaca serta memahami sepenuhnya keterangan saksi.

“Apabila saksi berbekalkan pernyataan saksi, mereka akan laju seperti kereta api,” katanya, dan menambah, pihak pembelaan memerlukan lebih masa untuk membuat persediaan kerana mereka baru menerima 15 berkas dokumen, ada antaranya mempunyai lebih 90 hingga 200 muka surat.

Hakim Sequerah: Saya boleh kekalkan untuk perbicaraan bermula pada Isnin. Saya sedia untuk bertolak ansur jika kamu memerlukan masa… saya boleh tangguhkannya seketika atau selama separuh hari. Perbicaraan  akan diteruskan pada Isnin tetapi saya akan mendengar (hujah) kamu pada Khamis.

Terdahulu, Sri Ram memohon supaya perbicaraan dimulakan pada 3 Sept dengan menyatakan tiga alasan bahawa perbicaraan kes rasuah Najib membabitkan SRC International Sdn Bhd di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali masih belum selesai.

“Saya dimaklumkan oleh Datuk V. Sithambaram (Timbalan Pendakwa Raya) bahawa saksi akhir sedang memberi keterangan semasa pemeriksaan utama dan pihak pembelaan memerlukan sehari setengah untuk memeriksa balas saksi itu,” katanya.

Sri Ram berkata alasan kedua bagi permohonan penangguhan itu adalah disebabkan pihak pendakwaan tidak dapat menyerahkan pernyataan saksi daripada 12 saksi sehingga Jumaat dan mereka memerlukan masa untuk menentusahkan beberapa dokumen.

“Pagi ini (semalam) kami turut menyerahkan 15 berkas dokumen kepada pembelaan. Berdasarkan alasan di atas, perbicaraan 1MDB perlu dimulakan pada 3 Sept kerana mereka (pendakwaan dalam kes SRC) berpeluang untuk menyelesaikan kes mereka,” katanya.

Hakim Sequerah: Tarikh telah ditetapkan lebih awal. Boleh saya tahu kenapa pernyataan saksi lewat diserahkan?

Sri Ram: Saksi pertama kami adalah saksi substantif. Pihak pembelaan memerlukan masa untuk menentusahkan beberapa dokumen. Tidak adil bagi pembelaan jika saksi tidak dipanggil seperti diarahkan. Dan peluang juga perlu diberi untuk menyelesaikan kes SRC.

Ditanya oleh Hakim Sequerah sama ada pendakwaan boleh membacakan pernyataan pembukaan kes itu semalam, Sri Ram berkata pihak pendakwaan belum bersedia untuk membacakannya.

Hakim Sequerah kemudian memerintahkan pendakwaan supaya bersedia dengan pernyataan pembukaan mereka dan saksi pada Isnin, selain menetapkan Khamis ini bagi pengurusan kes untuk mengetahui perkembangan perbicaraan kes SRC.

Beliau kemudian membenarkan permohonan Sri Ram untuk menangguhkan perbicaraan 1MDB, juga dikenali sebagai perbicaraan 1MDB-Tanore, yang dijadualkan bermula semalam.

Pada 20 September 2018, Najib didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang sama.

Beliau mengaku tidak bersalah terhadap kesemua 25 pertuduhan dan kes itu kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

— Bernama

Advertisement