Anda di sini

Naib canselor komited tingkatkan kualiti, pastikan UMS antara universiti terbaik dunia

Advertisement

KOTA KINABALU: Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin komited untuk meningkatkan lagi kualiti universiti itu termasuk dalam aspek pengajaran dan pembelajaran, fasiliti dan infrastruktur serta kebolehpasaran pelajarnya bagi memastikan UMS berada dalam kedudukan sebagai antara universiti terbaik dunia.

Beliau berkata pencapaian bersejarah UMS yang buat pertama kalinya tersenarai dalam Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings 2020 sebagai antara 1,000 universiti terbaik dunia adalah satu permulaan sangat baik bagi universiti berkenaan untuk terus memperkukuhkan reputasi di mata dunia.

Menerusi penarafan QS World University Rankings 2020 yang diumumkan pada Jun lepas, UMS disenaraikan pada kedudukan 801.

Taufiq mengucapkan tahniah kepada pemimpin UMS sebelum ini termasuk bekas Naib Canselor Prof Datuk Dr D Kamarudin D Mudin atas pencapaian itu, dan selaku pemimpin baharu universiti, beliau akan melakukan yang terbaik bagi meningkatkan lagi keternampakan (visibility) dan kedudukan UMS di peringkat antarabangsa.

“Saya berharap kakitangan UMS dapat memberi kerjasama dalam usaha meningkatkan lagi keternampakan universiti sehingga ke peringkat antarabangsa khususnya di Asia Pasifik,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri di sini semalam.

Ini merupakan kunjungan hormat yang pertama Taufiq kepada Tun Juhar selaku Canselor UMS selepas dilantik sebagai Naib Canselor UMS pada 30 Julai lepas.

Taufiq berkata pihaknya akan melakukan beberapa perkara ke arah meningkatkan lagi kualiti UMS termasuk melihat semula kurikulum sedia ada serta hubungan UMS dengan industri sama ada di dalam mahupun di luar Sabah bagi memberi peluang kepada pelajar menjalani latihan dan pengalaman industri sekali gus memastikan kebolehpasaran graduan.

Mengenai kunjungan hormat itu, Taufiq berkata, Tun Juhar memberi sokongan sangat baik kepada pimpinan universiti selain turut berharap UMS akan lebih membangun dan maju khususnya dalam membantu meningkatkan lagi sosioekonomi di Sabah.

“Saya akan menjalankan tugas dengan sebaiknya dan membantu meningkatkan sosioekonomi Sabah selain memastikan lebih ramai penduduk di negeri ini dapat menimba ilmu,” katanya. — Bernama

Advertisement