Anda di sini

Ligue 1: Aksi pemain berusia 16 tahun ‘sentak’ PSG di Brittanny

Advertisement
 Camavinga (kanan) bersaing dengan Thiago Silva ketika beraksi pada perlawanan Ligue 1 Perancis di Stadium Rosharon Park, Rennes kelmarin. — Gambar AFP
TENTANGAN SENGIT: Camavinga (kanan) bersaing dengan Thiago Silva ketika beraksi pada perlawanan Ligue 1 Perancis di Stadium Rosharon Park, Rennes kelmarin. — Gambar AFP

RENNES, Perancis: Juara bertahan Ligue 1 Perancis, Paris Saint Germain (PSG), tercicir mata pada perlawanan kedua musim ini apabila tewas 1-2 kepada Rennes Ahad lepas dalam perlawanan mirip final Piala Perancis pada bulan April dengan seorang pemain berusia 16 tahun mencuri tumpuan.

Edinson Cavani menjaringkan gol pada awal permainan untuk PSG di Brittanny tetapi Mbaye Niang mengikat kedudukan sebelum Romain del Castillo menjaringkan gol kemenangan.

PSG beraksi tanpa penyerang sensasi, Neymar untuk perlawanan ketiga berturut-turut musim ini dengan penyerang antarabangsa Brazil itu terus mengundang spekulasi perpindahan ke Barcelona dan Real Madrid.

Pemain kelahiran Angola berusia 16 tahun, Eduardo Camavinga, diturunkan dalam kesebelasan utama Renns di bahagian tengah dan membantu menghasilkan gol kemenangan, bersama-sama pemain berpengalaman, Clemet Grenier.

Jurulatih Rennes, Julien Stephan, berkata Camavinga, pemain pertama lahir sejak Januari 2002 yang beraksi dalam lima liga utama di Eropah, terus meningkat sejak membuat penampilan sulung dalam skuad senior pada bulan April.

“Ia sudah lebih dari enam bulan di mana beliau berlatih dengan pemain senior. Beliau menyesuaikan diri dengan baik,” kata Stephan.

“Kami membuat persediaan beliau bersama pemain, kakitangan dan keseluruhan kelab supaya beliau dapat menyesuaikan diri dengan baik.

“Beliau mula menyesuaikan diri pada akhir musim lepas dan mengesahkan beliau adalah pemain untuk diturunkan pada awal musim ini,” tambah beliau.

Kapten PSG, Thiago Silva, mengakui pasukannya mengurangkan asakan selepas gol pembukaan Cavani.

“Kami bermula dengan baik tetapi selepas itu bermain sambil lewa, saya tidak tahu kenapa. Kami kelihatan hilang fokus,” kata Silva.

“Ia bukan pasukan sebenar PSG. Rennes bermain dengan baik dan kental di bahagian pertahanan, mereka bermain lebih berhati-hati berbanding kami.”

PSG menguasai awal permainan dan menunjukkan kualiti mereka dengan dua peluang terbaik pada 15 minit pertama.

Pertama sekali rembatan Julian Draxler sedikit tinggi sebelum cubaan Cavani terkena palang pada minit ke-20 tetapi penyerang antarabangsa Uruguay itu menebus kekecewaan dengan menjaringkan gol 20 minit kemudian selepas kesilapan kapten Rennes, Damien da Silva di benteng pertahanan.

Rennes mengikat kedudukan sebelum rehat apabila Niang menyempurnakan hantaran lintang Hamari Traore sebelum menambah jaringan apabila Camavinga mengumpan bola kepada Del Castillo sebelum merembat bola ke pintu gol.

Rennes hampir menjaringkan gol ketiga tetapi tandukan Jeremy Gelin terkena palang pada minit ke-62. — AFP

Advertisement