Anda di sini

Kualiti udara di Miri pulih ke paras sederhana

Advertisement
 Pasukan ERT Naim bertungkus-lumus membantu memadam kebakaran di sektor dua dengan membanjirkan kawasan kebakaran khususnya yang masih ada sisa-sisa api bagi memastikannya padam sepenuhnya.
TUGAS BERAT: Pasukan ERT Naim bertungkus-lumus membantu memadam kebakaran di sektor dua dengan membanjirkan kawasan kebakaran khususnya yang masih ada sisa-sisa api bagi memastikannya padam sepenuhnya.

MIRI: Hujan malam kelmarin meskipun memberi sedikit kelegaan kepada penduduk Miri dalam keadaan berjerebu yang semakin berkurangan, namun operasi pemadaman masih diteruskan di tiga sektor tumpuan.

Kualiti udara di sini semakin pulih ke paras sederhana dengan stesen Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri merekodkan bacaan 95 manakala di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Baram 2 ialah 70 dan stesen di pusat bandar raya Miri mencatat bacaan 56 pada jam 5 petang semalam, menunjukkan penurunan berbanding bacaan pada sebelah pagi.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon 6 Miri Law Poh Kiong berkata, operasi pemadaman menggunakan kaedah pengemboman air dengan khidmat pesawat Bombadier CL-415 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) juga masih diteruskan terutama di sektor tiga yang jauh daripada akses pasukan pemadam.

“Operasi pemadaman di sektor satu, yang melibatkan kawasan SK Kuala Baram 2 dan kawasan Kompleks Kebajikan Hamidah Yakub dilakukan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng dengan asap masih tebal di kawasan rumah burung serta masih berbaki lima ekar.

“Bagi sektor dua pula pasukan bertindak kecemasan (ERT) Naim, membuat pembanjiran menyeluruh dan ‘direct attack’ ke arah punca api di kawasan ini,” katanya sambil menambah, kawasan ini masih berbaki tiga ekar.

Manakala bagi pengeboman air pula, penerbangan akan dilakukan dua kali di sektor tiga semalam, masing-masingnya pada jam 9.30 pagi dan 1.30 petang, dengan hanya terdapat beberapa tompok kecil di dalam hutan yang masih berbaki 10 ekar.

Menurut Law lagi, dengan kekuatan 61 anggota, dengan bantuan aset syarikat Naim seperti pan pasir, tiga unit pam angkut, empat unit kenderaan pikap dan sebuah jengkaut di samping pesawat Bombadier APMM serta tiga jengkaut milik Jabatan Kerja Raya (JKR) dan sebuah lagi milik Majlis Bandaraya Miri (MBM).

Advertisement