Anda di sini

K'jaan sedia beri kerjasama bantu pelabur berminat industri hiliran

Advertisement
 Madius (tiga kanan) menerima cendera kenangan dari Yaakub, turut kelihatan ialah Robert (dua kanan).
TERIMA KASIH: Madius (tiga kanan) menerima cendera kenangan dari Yaakub, turut kelihatan ialah Robert (dua kanan).

KOTA KINABALU: Kerajaan sedia memberi kerjasama kepada pelabur yang ingin melabur dalam industri hiliran di Sabah.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, kerajaan Sabah kini memberi fokus membangunkan industri hiliran dalam pelbagai bidang seperti minyak dan gas, sawit, getah serta banyak lagi.

"Kita berhadapan cabaran besar dalam pengeksportan minyak sawit di peringkat antarabangsa dan salah satu pilihan kita untuk mengatasi pengeluaran berlebihan sawit di sini adalah dengan mewujudkan industri hiliran.

"Kita juga mengalu-alukan para pelabur untuk melabur industri hiliran dalam sektor minyak dan gas," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perniagaan Malaysia (Sabah)-Singapura, di sini semalam.

Beliau berkata, Sabah mempunyai bekalan bahan mentah yang banyak khususnya dalam sektor sawit dan getah.

Katanya, kerajaan sedia untuk mengadakan perbincangan dengan bakal pelabur yang berminat melabur dalam sektor berkenaan.

"Saya yakin Sabah juga akan menerima limpahan ekonomi yang besar apabila Indonesia memindahkan ibu negara mereka di Kalimantan pada masa hadapan.

"Harga getah sekarang juga berhadapan masalah disebabkan bekalannya terlalu banyak, ini juga dilihat satu peluang kepada kita untuk mewujudkan industri hiliran dalam sektor komoditi ini," katanya.

Madius yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian berkata, terdapat sekurang-kurangnya dua pelabur akan membina kilang di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dalam pembuatan tayar.

Beliau juga berharap lebih daripada 20 pelabur yang hadir ke mesyuarat itu akan mengambil peluang untuk menerokai kepelbagaian potensi pelaburan dalam negeri ini.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) Datuk Dr Mohd Yaakub Johari, Pengerusi Bersama Majlis Perniagaan Malaysia Singapura (MSBC) Robert Yap bersama tetamu kehormat lain.

  • oleh
  • Advertisement