Anda di sini

Kebanyakan pencari pekerjaan mohon jawatan perkeranian

Advertisement
 Pencari pekerjaan daripada kalangan OKU juga tidak melepas peluang mencari pekerjaan pada Karnival Kerjaya 3.0.
PELUANG SAMA RATA: Pencari pekerjaan daripada kalangan OKU juga tidak melepas peluang mencari pekerjaan pada Karnival Kerjaya 3.0.

MIRI: Kerja pejabat atau perkeranian antara jawatan yang paling mendapat permintaan pada Karnival Kerjaya 3.0 anjuran Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sarawak.

Pengarah JTK Sarawak Awang Raduan Awang Omar berkata kebanyakan pencari pekerjaan lebih banyak memohon jawatan perkeranian.

“Dari bahagian Samarahan, Betong, Sibu hingga Miri, jawatan perkeranian lebih banyak dipohon oleh pencari pekerjaan menerusi temu duga secara terbuka,” katanya kepada media pada Karnival Kerjaya 3.0 di Miri semalam.

Awang Raduan berkata, seramai 532 pencari pekerjaan telah berjaya dalam temu duga dan diambil majikan pada sesi di Samarahan, Betong dan Sibu.

“Bagi Sibu, seramai 307 orang berjaya mendapat pekerjaan, sementara Betong (80 orang) dan Sibu (176 orang).

“Bagaimanapun bagi Miri, kita belum dapat mengeluarkan statistik kerana ia akan diperoleh sebaik sahaja program ini tamat nanti,” katanya.

Awang Raduan memberitahu rata-rata pencari pekerjaan terdiri daripada lepasan sekolah, diploma, ijazah serta mereka yang mencari pekerjaan baharu selain kerja sedia ada.

“Program Karnival Kerjaya 3.0 ini sebenarnya terbuka kepada semua tidak mengira kelulusan, bahkan orang kurang upaya (OKU) juga hadir,” jelasnya.

Sebanyak 29 majikan yang menawarkan 2,028 kekosongan jawatan menyertai Program Karnival Kerjaya Bahagian Miri.

Sebanyak 71 kekosongan daripada jumlah keseluruhan tersebut merupakan kekosongan untuk calon siswazah manakala sebanyak 1,957 kekosongan pula adalah jawatan bagi kategori calon bukan siswazah.

Antara jenis kekosongan jawatan yang ditawarkan bagi calon siswazah terdiri daripada jawatan pensyarah, pegawai kesihatan dan keselamatan, jurutera eksekutif, penasihat undang-undang dan pengurus.

Pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang program selain aktiviti temu duga terbuka iaitu aktiviti pendaftaran pencari kerja secara dalam talian di portal JobsMalaysia, ceramah kerjaya dan khidmat nasihat perburuhan.

Program Jelajah Kerjaya Kenyalang 3.0 telah bermula sejak 14 dan berakhir di Miri dengan menawarkan kira-kira 6,000 kekosongan jawatan pelbagai sektor.

Objektif utama program adalah untuk membantu pencari kerja mendapatkan pekerjaan mengikut kelayakan sedia ada dengan menghadiri temu duga terbuka yang diadakan sepanjang program.

Program turut menjadi platform kepada para majikan dalam sektor swasta untuk mencari calon pekerja yang berpotensi bagi mengisi kekosongan jawatan yang disediakan.

Hadir sama ialah Pegawai Tadbir Sarawak Ezra Uda dan Timbalan Pengarah JTK Sarawak Sulaiman Ismail.

Advertisement