Anda di sini

Jiran dengar mangsa jerit minta tolong

Advertisement
 Anggota Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat menyiasat punca kebakaran sebuah rumah di Kampung Alah Batu, Ulu Bernam dekat Hulu Selangor, semalam yang mengorbankan Mohd Sharidan dan isteri Siti Rafini, masing-masing berumur dalam lingkungan 30-an, serta anak lelaki mereka Rafiq Mohd Sharidan berusia dalam lingkungan setahun. — Gambar Bernama
RANAP: Anggota Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat menyiasat punca kebakaran sebuah rumah di Kampung Alah Batu, Ulu Bernam dekat Hulu Selangor, semalam yang mengorbankan Mohd Sharidan dan isteri Siti Rafini, masing-masing berumur dalam lingkungan 30-an, serta anak lelaki mereka Rafiq Mohd Sharidan berusia dalam lingkungan setahun. — Gambar Bernama

HULU SELANGOR: “Makcik dengar seorang wanita menjerit meminta tolong, tapi apakan daya tiada kudrat untuk membantu, kerana api dah marak dengan cepat,” itu perkongsian jiran mangsa kebakaran di Kampung Alah Batu, Ulu Bernam di sini, awal pagi semalam.

Rabaiah Yunus, 58, yang tinggal di sebelah rumah mangsa berkata, ketika mendengar jeritan meminta tolong, beliau baru sahaja bangun dari tidur untuk memasak, kerana anak perempuannya mahu pulang ke Manjung.

“Menantu (lelaki) makcik secara kebetulan baru bangun dari tidur terdengar bunyi bising, menyangka ada pencuri, tetapi apabila keluar rumah nampak api makin besar dan marak.

“Kami tak dapat nak tolong apa-apa cuma makcik hanya mampu menjerit minta tolong dengan jiran di sini, namun masa itu semua orang tengah tidur,” katanya dalam nada sebak ketika ditemui Bernama di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira 3.51 pagi semalam, mangsa Mohd Sharidan Abdul Aziz dan isteri Siti Rafini Mohd Rafiee, masing-masing berumur dalam lingkungan 30-an, serta anak lelaki mereka Rafiq Mohd Sharidan berusia dalam lingkungan setahun, ditemui maut dalam sebuah bilik di rumah yang mengalami kebakaran.

Rabaiah berkata mangsa sekeluarga yang baru berpindah di situ sejak Januari lalu merupakan jiran yang sangat baik, dan menganggap mereka sekeluarga seperti anaknya sendiri.

Sementara itu, bapa Mohd Sharidan, Abdul Aziz Mohd Idris, 58, berkata, mangsa anak ketiga daripada lima beradik itu memang rapat dengannya dan merupakan anak yang menyenangkan.

“Kali terakhir saya bertemu dengannya semalam (kelmarin), kerana kebetulan rumah saya mengadakan kenduri bertunang anak saudara dan mangsa tidak menunjukkan apa-apa perubahan ketika itu.

“Sebelum dia (mangsa) pergi berniaga memang dia akan singgah di rumah dahulu dan boleh dikatakan hampir setiap hari kami bertemu.

“Saya sekeluarga menerima apa yang telah terjadi dan reda dengan kehilangan anak serta menantu dan cucu kami,” katanya.

Katanya, pasangan suami isteri itu berniaga ayam goreng berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Besout dekat sini.

Difahamkan, kesemua jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Slim di sini, selepas bedah siasat selesai dilakukan di Unit Forensik Hospital Slim River. — Bernama

Advertisement