Anda di sini

Guru besar, pengetua berkuasa tutup sekolah

Advertisement
 Uggah pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat JPBN Sarawak Bil 2/2019 di Bilik Mesyuarat  Utama, Wisma Bapa Malaysia semalam. Turut kelihatan Fatimah dan Dr Sim.
SIDANG MEDIA: Uggah pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat JPBN Sarawak Bil 2/2019 di Bilik Mesyuarat Utama, Wisma Bapa Malaysia semalam. Turut kelihatan Fatimah dan Dr Sim.

KUCHING: Guru besar atau pengetua mempunyai kuasa untuk menutup sekolah masing-masing jika Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah bacaan 200.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ini adalah mengikut prosedur pperasi standard (SOP) untuk sekolah ditutup dalam tempoh 24 jam.

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak telah membincangkan perkara ini.

“Dan mengikut SOP yang ditetapkan, kita memutuskan bahawa siapa yang berkuasa sama ada untuk menutup atau tidak sekolah jika IPU mencecah 200 adalah terpulang kepada guru besar atau pengetua berkenaan,” katanya sambil menambah, pihaknya turut berbincang dengan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) tentang perkara  itu.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat JPBN Sarawak Bil 2/2019 di Bilik Mesyuarat Utama, Wisma Bapa Malaysia di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian dan agensi-agensi kerajaan lain.

Mengenai mesyuarat itu, Uggah berkata beliau telah mendengar laporan daripada agensi-agensi yang terlibat.

“Antaranya ialah Jabatan Meteorologi Malaysia, Jabatan Alam Sekitar, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak, Jabatan Kesihatan dan Perubatan Sarawak serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak,” ujarnya.

Pengerusi JPBN Sarawak itu berkata, isu yang  dibincangkan ialah konsisten dengan apa yang berlaku sekarang iaitu keadaan cuaca kering dan panas yang menyebabkan kejadian kebakaran dan kekurangan air di beberapa tempat.

“Menurut laporan Jabatan Alam Sekitar, kata Uggah, bilangan titik panas yang dikesan di Sarawak pada bulan Ogos adalah sebanyak 26 hot spot yang mana satu masing-masing di Samarahan, Sarikei dan Kapit, Sibu (lapan), empat masing-masing di Mukah dan Bintulu dan Miri (tujuh).

Selain itu katanya, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak turut melaporkan bahawa dari Januari hingga Ogos tahun ini sebanyak 180 jenis kebakaran melibatkan kebakaran pertanian, belukar, ladang kecil, sisa halaman rumah, pembinaan dan sebagainya.

“Kita telah membincangkan tadi bagaimana mahu menyelaraskan jentera kita supaya masalah kebakaran serta masalah kekurangan air yang terjejas di beberapa tempat dapat diselesaikan.

Antara kawasan yang dikenal pasti terjejas dengan bekalan air ialah di Bayai, Sri Aman; Lundu; Asajaya, Simunjan, Sebangan, Balai Ringin, Pantu, Seduku/Stumbu di Sri Aman; Penibong, Kuala Balingian, Selangau, Sibu; Suai, Miri dan Telok Melano.

“Kita telah mengenal pasti tempat ini dan oleh itu, jentera agensi berkenaan telah dikerahkan supaya masalah yang dihadapi rakyat akan lebih ringan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang awam supaya tidak melakukan apa-apa aktiviti pembakaran terbuka yang boleh menjejaskan lagi kualiti udara.

“Kita juga minta orang ramai atau siapa-siapa yang  menghadapi masalah air supaya memaklumkan kepada Pejabat Residen masing-masing supaya tindakan dapat diambil,” katanya.

Uggah dalam pada itu merakamkan penghargaan kepada JBPM Negeri Sarawak yang bertungku-lumus mengatasi kebakaran berlaku serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)  yang telah melakukan kaedah ‘water bombing’ dengan menggunakan pesawat pada 15 Ogos hingga sekarang.

“Dengan tindakan pantas dan kerjasama semua, kita dapat meminimumkan masalah ini,” katanya sambil memohon orang ramai terus memberi kerjasama dan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengetahui aktiviti kebakaran terbuka dilakukan.

  • oleh
  • Advertisement