Anda di sini

Enam kampung dinaiki air

Advertisement
 Murid-murid ini terpaksa menaiki kenderaan pacuan empat roda beramai-ramai akibat banjir kilat yang menimpa sekolah mereka.
PRIHATIN: Murid-murid ini terpaksa menaiki kenderaan pacuan empat roda beramai-ramai akibat banjir kilat yang menimpa sekolah mereka.

 TAWAU: Banjir kilat hampir lima jam di daerah ini pada awal pagi tadi menyebabkan sekurang-kurangnya enam kampung dinaiki air, mujur tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Antaranya, Kg Pasir Putih, Kg Rawa-Rawa, Kg Serudung Baru, Batu 2 Jalan Apas dan sekitarnya, Batu 15, Kg Kuala Apas serta sekitar asrama Maktab Rendah Sains Mara.

Banjir kilat yang berlaku dari jam 5.50 pagi hingga 10.30 pagi itu turut menyebabkan situasi panik, apabila dua lelaki dikhuatiri hanyut termasuk kanak-kanak 12 tahun.

Mujur, kedua-dua mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan memanjat dan berpaut di atas pokok sawit apabila terperangkap hampir tiga jam dalam insiden terbabit.

Utusan Borneo (UB) turut dimaklumkan bahawa sebuah rumah di Kg Serudung Baru dihanyutkan oleh arus deras banjir sejauh kira-kira 10 meter dari tapak asalnya.

 Murid-murid SK Batu 22 Jalan Balung terpaksa didukung untuk memasuki kelas mereka.
BANTU: Murid-murid SK Batu 22 Jalan Balung terpaksa didukung untuk memasuki kelas mereka.

Malah, terdapat dua sekolah yang terpaksa ditutup, iaitu SK Serudong Baru dan SK Jalan Apas melibatkan murid seramai 538 orang, 47 guru dan lapan kakitangan sekolah.

Sesi persekolahan empat lagi sekolah yang turut terjejas, iaitu SK Pasir Putih, SK Blok 31, SK Batu 22 Jalan Balung dan SK Andrassy pula diteruskan serta berjalan seperti biasa.

Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kalabakan, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Merotai, UPPM Balung, Warisan, Umno dan Pas, antara pihak yang tampil menghulurkan bantuan makanan dan minuman kepada mangsa banjir.

Pembantu Menteri Kewangan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merotai Sarifuddin Hata berkongsi simpati terhadap ujian yang menimpa mangsa banjir.

“Saya berdukacita dengan musibah yang berlaku dan kita akan berusaha untuk memastikan Projek Tebatan banjir Sg Tawau By Pass Pasir Putih Fasa V disegerakan.

“Kita melihat keperluan projek ini amat mendesak dan perlu dilaksanakan segera,” katanya sambil mengesahkan projek itu kini memasuki peringkat pelantikan kontraktor.

 Keadaan banjir yang berlaku di SK Batu 22 Jalan Balung Tawau.
BANJIR: Keadaan banjir yang berlaku di SK Batu 22 Jalan Balung Tawau.

Adun Balung Datuk Osman Jamal turut berdukacita dengan musibah yang menimpa mangsa banjir dan berharap mereka tabah serta berdoa mudah-mudahan ada hikmahnya.

Beliau berhasrat menemui Jabatan Pengairan dan Saliran Daerah Tawau untuk mengenal pasti solusi terbaik yang boleh diambil mengatasi masalah berkaitan.

  • oleh
  • Advertisement