Anda di sini

Bursa Malaysia terus susut, enam minggu catat penurunan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia terus mencatatkan penurunan minggu lepas, menjadikan tempoh itu sebagai minggu keenam berturut-turut merekodkan penyusutan yang kali terakhir dilihat pada Mei hingga Jun 2015, menurut MIDF Amanah Investment Bank Bhd Research.

Ia berkata, prestasi bursa tempatan pada minggu itu turut sejajar dengan pergerakan bursa serantau.

Dalam laporan aliran dana mingguan semalam, penganalisis firma itu, Adam Mohamed Rahim berkata paras di mana dana antarabangsa keluar dari pasaran Asia adalah masih tinggi, dengan data agregat sementara bagi tujuh bursa Asia menunjukkan pelabur asing melepaskan AS$2.55 bilion bersih minggu lepas.

“Bagi pasaran pesat membangun Asia Tenggara yang kami pantau, semua pasaran mengalami aliran keluar bagi tempoh tersebut.

“Pelabur asing di Bangkok meningkatkan aktiviti penjualan mereka dengan menjual AS$790.4 juta bersih, Manila mencatatkan aliran keluar bersih asing AS$86.6 juta dan penjual luar pesisir di Jakarta meneruskan aktiviti penjualan bersih mereka bagi minggu kelima berturut-turut dengan AS$185.6 juta nilai ekuiti tempatan,” katanya.

Bagi Malaysia, pelabur luar pesisir terus mengurangkan pendedahan mereka dalam saham disenaraikan di Bursa bagi minggu kelima berturut-turut walaupun pada kadar lebih perlahan dengan pelabur asing menjual ekuiti tempatan bernilai bersih RM598.1 juta minggu lepas, katanya

Adam berkata memandangkan pasaran tempatan hanya dibuka semula pada Selasa selepas cuti Aidiladha, pelabur asing menjual RM209.6 juta bersih ekuiti tempatan di tengah-tengah keadaan ketidaktentuan geopolitik Argentina dan Hong Kong.

“Ini merupakan aliran keluar bersih asing tertinggi bagi minggu lepas, sekali gus menyebabkan bursa tempatan susut kepada paras bawah 1,600 mata untuk ditutup pada 1,592.88 bagi hari yang sama. Ia merupakan prestasi penutup pasaran terendah sejak Ogos 2015,” katanya.

Beliau berkata, paras jualan bersih asing berkurangan pada Rabu selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menangguhkan pengenaan sebahagian tarif ke atas barangan China, sekali gus memberi kelegaan kepada dunia.

Pegawai rasmi China turut memberi petanda bahawa rundingan perdagangan akan diteruskan dengan rancangan mesyuarat perdagangan bersemuka bersama Washington pada September.

“Kadar penjualan bersih asing, bagaimanapun meningkat kepada RM196.8 juta pada Khamis disebabkan kebimbangan kemungkinan ekonomi AS mengalami krisis berikutan songsangan keluk hasil perbendaharaan AS.

“Bagaimanapun aktiviti penjualan bersih asing berkurangan kepada RM118.1 juta pada Jumaat susulan pengumuman pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia bagi suku kedua 2019 pada 4.9 peratus yang mengatasi jangkaan pasaran,” katanya.

Adam berkata pasaran ekuiti utama di seluruh dunia kekal rendah minggu lepas berikutan kebimbangan mengenai Argentina dan Hong Kong telah menimbulkan kekhuatiran pelabur.

Sebaliknya, beliau berkata ringgit meningkat 0.1 peratus berbanding dolar AS dengan unit tempatan ditutup pada 4.1782 berbanding mata wang negara maju itu minggu lepas.

Harga minyak mentah Brent juga mencatatkan margin kenaikan 0.2 peratus selepas ditutup pada AS$58.64 setong, katanya.

Kenaikan mingguan yang sedikit itu didorong terutama oleh penurunan ekuiti AS, disokong oleh hasil bon AS yang lebih baik, mengatasi laporan Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC).

OPEC menurunkan prospeknya bagi peningkatan permintaan minyak pada 2019 sebanyak 40,000 tong kepada 1.10 juta tong sehari disebabkan jangkaan tekanan daripada kemungkinan kelembapan pertumbuhan ekonomi, katanya. — Bernama

Advertisement