Anda di sini

Atipsom: Juragan ditangkap disyaki cuba seludup lapan PTI dari Sitangkai

Advertisement

SEMPORNA: Seorang juragan dan lapan pendatang tanpa izin (PTI) ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes penyeludupan migran, di laut Pulau Sisipan, di sini semalam.

Penahanan terbabit dilakukan di atas sebuah perahu jingga yang menggunakan enjin pam dan dijuragani oleh seorang lelaki Palauh dari Sitangkai, Filipina, kira-kira jam 7 pagi.

 Sembilan orang ditangkap termasuk juragan yang disyaki mendalangi aktiviti penyeludupan migran dari negara jiran, Filipina untuk masuk ke negara ini.
DICEKUP: Sembilan orang ditangkap termasuk juragan yang disyaki mendalangi aktiviti penyeludupan migran dari negara jiran, Filipina untuk masuk ke negara ini.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah ACP Mohamad Pajeri Ali berkata semua penumpang mengaku membayar RM70 seorang kepada juragan terbabit.

“Mereka yang ditahan berumur antara 16 tahun hingga 65 tahun serta terdiri daripada tujuh lelaki dan dua wanita,” katanya, dalam kenyataannya di sini.

Pajeri berkata turut dirampas wang ringgit (RM207.20) dan Peso Filipina (1, 570 Peso) serta barang-barang peribadi dipercayai milik juragan dan penumpang-penumpangnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM7, 337.20 termasuk bot dan enjin pam yang digunakan oleh suspek untuk membawa penumpang.

“Kesemua penumpang yang ditahan mengaku bahawa mereka dalam perjalanan dari Pulau Sitangkai Filipina, dan hendak memasuki negara ini melalui Semporna,” katanya.

Menurutnya, pergerakan suspek membawa masuk kumpulan PTI terbabit pada mulanya berjaya dikesan berdasarkan maklumat daripada Unit Risikan Marin PPM Semporna.

 BOT yang digunakan untuk membawa PTI dari Sitangkai ke Semporna turut ditahan.
DISITA: BOT yang digunakan untuk membawa PTI dari Sitangkai ke Semporna turut ditahan.

Tindakan penguatkuasaan di dalam kes terbabit dijalankan mengikut peruntukan Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007.

“PPM akan terus memerangi kegiatan penyeludupan migran dan menjalankan tugasan rutin menjaga keselamatan maritim serta menguatkuasakan undang-undang,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement