Anda di sini

Akhirnya trofi kejuaraan dalam ‘dakapan’ Medvedev

Advertisement
 Reaksi Medvedev selepas meraih mata kemenangan pada aksi final menentang Goffin di Mason, Ohio kelmarin. — Gambar Reuters
PENUH BERMAKNA: Reaksi Medvedev selepas meraih mata kemenangan pada aksi final menentang Goffin di Mason, Ohio kelmarin. — Gambar Reuters

CINCINNATI, Amerika Syarikat (AS): Daniil Medvedev, yang tewas dua final berturut-turut, menangani cabaran David Goffin untuk memenangi kejuaraan Siri Master Cincinnati di sini Ahad lepas.

Pemain pilihan kesembilan dari Rusia itu menewaskan Goffin, 7-6(7/3) dan 6-4 untuk menjulang kejuaraan sulung di peringkat Siri Master selepas muncul naib juara di kejohanan Siri Master Washington dan Montreal.

“Ini adalah tiga minggu terbaik dalam kehidupan saya,” kata Medvedev. “Mentaliti saya di tahap terbaik, pukulan saya juga hebat dan permainan saya benar-benar konsisten.

“Saya tidak mempunyai satu pun permainan buruk, saya berharap ia akan dikekalkan untuk beberapa minggu akan datang.”

Selepas mengharungi jadual sepenuhnya kejohanan pasca Wimbledon, Medvedev mengakui: “Saya sangat letih, saya hampir tidak dapat bersuara sekarang.”

Beliau mendedahkan beliau mula merasai kekejangan pada akhir permainan apabila membaling raket kerana marah sebelum menyelamatkan mata pendahuluan.

“Saya fikir final di Montreal menentang Rafa (Nadal) adalah penting,” kata beliau ketika merujuk kepada semangat enggan mengalah. “Saya mungkin dapat menggunakan pengalaman yang saya ada dan David tidak.”

Medvedev, yang hanya naik ke dalam senarai 10 pemain ranking teratas ATP, akan melonjak ke ranking kelima dunia berikutan prestasi memberangsangkan sepanjang tiga minggu terakhir.

“Saya tidak memeriksa kedudukan ranking setiap dua minit tetapi saya ada melihatnya selepas satu kejohanan,” katanya. “Jika tewas, saya akan naik ke ranking ketujuh tetapi sekarang ke ranking kelima.”

Medvedev mengekalkan rentak kemenangan mengejut ke atas juara bertahan yang juga pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic apabila mengawal permainan untuk mengesahkan kejuaraan.

Beliau mempunyai rekod 43 kemenangan di permukaan simen, paling banyak di antara pemain lain tahun ini.

Nadal, yang tidak beraksi minggu ini – di tangga kedua dengan 41 kemenangan dan Roger Federer di tempat ketiga dengan 39 kemenangan.

Medvedev meletakkan dirinya sebagai antara pencabar untuk kejohanan Grand Slam terakhir tahun ini, Terbuka AS, yang bermula minggu terakhir bulan ini.

Goffin, pemain dari Belgium, bermain di final kedua tahun ini selepas tewas kepada Federer di Halle.

“Tahniah,” kata Goffin. “Sekali lagi, satu minggu yang hebat untuk anda.

“Saya fikir anda sudah bersedia untuk New York (Terbuka AS).” — AFP

Advertisement