Anda di sini

Abang Johari akan putuskan sendiri pengganti Wong Soon Koh

Advertisement
 Abang Johari bercakap kepada pemberita ketika ditemui selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi GPS di Ibu Pejabat PBB di Kuching semalam. — Gambar oleh Tan Song Wei
TUMPUAN: Abang Johari bercakap kepada pemberita ketika ditemui selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi GPS di Ibu Pejabat PBB di Kuching semalam. — Gambar oleh Tan Song Wei

KUCHING: Pengganti Dato Sri Wong Soon Koh bagi jawatan Menteri Kewangan Kedua dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang akan diputuskan sendiri Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Abang Johari yang ditemui selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Gabungan Parti Sarawak (GPS) di sini semalam berkata, ia adalah prerogatif beliau sebagai Ketua Menteri untuk membuat keputusan.

“Soal pengganti Wong Soon Koh masih belum dibincangkan kerana tarikh peletakan jawatan beliau berkuat kuasa 15 Ogos lepas.

“Ia adalah prerogatif Ketua Menteri untuk memutuskan perkara ini dan saya akan maklumkan anda nanti,” katanya yang enggan mengulas panjang mengenai perkara ini.

Wong mengumumkan perletakan jawatan pada 15 Julai lepas pada satu sidang media di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur di sini.

Keputusan tersebut dibuat oleh Wong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan dan presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) susulan keputusan kabinet negeri untuk tidak melantik ahli PSB sebagai kaunselor di pihak berkuasa tempatan (PBT).

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Masing yang ditemui selepas mesyuarat yang sama semalam turut menegaskan bahawa Ketua Menteri akan memutuskan sendiri pengganti Wong.

“Kami tidak berani bertanyakan kepada beliau (Ketua Menteri) dan beliau (Ketua Menteri) akan membuat keputusan kerana ia adalah prerogatif Ketua Menteri.

“Memandangkan ia hanya melibatkan jawatan Menteri Kewangan Kedua maka tidak perlu tergesa-gesa. Lainlah kalau melibatkan jawatan Menteri Kewangan Pertama ia perlu segera diisi,” kata Masing yang juga presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS).

Tambah Masing lagi, dalam hal melibatkan jawatan dalam kabinet ini, lazimnya Ketua Menteri akan mendapatkan pandangan daripada ramai individu namun secara bersendirian.

“Beliau (Ketua Menteri) akan mendapatkan pandangan daripada orang lain, tetapi bukan dalam kumpulan.

“Biasanya begitulah yang dibuat dan beliau (Ketua Menteri) akan berjumpa dengan seorang demi seorang kerana jika dibuat dalam kumpulan akan ada perbalahan,” ujar Masing.

Dalam pada itu mesyuarat semalam yang berlangsung di ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini  adalah mesyuarat biasa bagi Majlis Pimpinan Tertinggi PBB.

Antara yang dibincangkan ialah mengenai situasi politik semasa serta program pembangunan yang dirancang bagi bajet akan datang.

Advertisement