Anda di sini

VAR nafi kemenangan dramatik The Citizens ke atas Spurs

Advertisement
 Jesus mempertikai keputusan pengadil apabila jaringannya pada minit akhir perlawanan dibatalkan selepas semakan VAR pada perlawanan liga di Stadium Etihad, Manchester Sabtu Lepas. —  Gambar AFP
TIDAK PUAS HATI: Jesus mempertikai keputusan pengadil apabila jaringannya pada minit akhir perlawanan dibatalkan selepas semakan VAR pada perlawanan liga di Stadium Etihad, Manchester Sabtu Lepas. — Gambar AFP

LONDON, England: Manchester City dipaksa dengan keputusan seri 2-2 apabila menentang Tottenham Hotspur selepas juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu dinafikan satu kemenangan dramatik oleh video bantuan pengadil (VAR) sementara Liverpool meneruskan permulaan sempurna dengan kemenangan 2-1 di Southampton Sabtu lepas.

City gagal memenangi perlawanan liga buat kali pertama dari 16 perlawanan terakhir sejak dari musim lepas ekoran penamat kontroversi di Stadium Etihad.

City memikirkan mereka menjaringkan gol kemenangan apabila Gabriel Jesus menjaringkan gol pada minit kecederaan tetapi kegembiraan pemain City bertukar suram apabila semakan VAR menunjukkan Aymeric Laporte mengumpan bola menggunakan tangannya.

Kekecewaan itu mengimbau kembali perlawanan suku akhir kedua Liga Juara-Juara yang menyaksikan City tersingkir dari saingan kerana peraturan gol di tempat lawan selepas gol Raheem Sterling pada lewat permainan tidak disahkan oleh VAR.

City membuka jaringan pada minit ke-20 apabila umpanan cantik Kevin De Bruyne disempurnakan oleh Sterling untuk gol keempatnya musim ini.

Tetapi Spurs mengikat kedudukan tiga minit kemudian apabila Erik Lamela mengambil kesempatan dari kealpaan penjaga gol City, Ederson dengan rembatan dari hujung kotak penalti.

City kembali di hadapan pada minit ke-35 apabila Sergio Aguero menyempurnakan satu lagi umpanan De Bruyne.

Bagaimanapun, selepas kurang dari 20 saat dalam padang sebagai pengganti Harry Winks, Lucas Moura melompat lebih tinggi dari Kyle Walker untuk menanduk gol penyamaan Spurs dari tendangan sudut Erik Lamela.

Aguero meluahkan kemarahannya dengan pengurus City, Pep Guardiola apabila ditukarkan dengan Gabriel Jesus, yang juga lebih kecewa berbanding Aguero apabila rayuan gol minit terakhir beliau tidak disahkan pengadil selepas semakan VAR.

Meminta keputusan VAR diperbaiki, Guardiola berkata: “Saya fikir kami sudah melupakan situasi yang sama seperti perlawanan Liga Juara-Juara musim lepas. Tetapi ia tetap sama. Pengadil dan VAR tidak membenarkan gol itu. Ia kali kedua berlaku dan sukar untuk diterima.

“Mereka harus memperbaikinya.”

Di St Mary, Liverpool menyamai rekod kelab memenangi 11 perlawanan liga berturut-turut untuk berada dua mata di hadapan City ketika mereka mengekalkan rentak dari kemenangan 4-1 ke atas Norwich minggu lepas.

Skuad kendalian Jurgen Klopp membuka jaringan pada minit akhir sebelum rehat menerusi jaringan Sadio Mane, yang kembali menghantui bekas kelabnya.

Roberto Firmino menjaringkan gol kedua untuk gol liga ke-49 bersama kelab dari umpanan Mane pada minit ke-71.

Penjaga gol Liverpool, Adrian, diturunkan dalam kesebelasan utama walaupun mengalami kecederaan buku lali apabila seorang penyokong merempuhnya ketika meraikan kemenangan ke atas Chelsea pada perlawanan Piala Super Eropah minggu lepas.

Tetapi Adrian melakukan kesilapan pada minit ke-83 apabila kelihatan cemas mahu mengeluarkan bola bahaya ketika berdepan Danny Ings, menyebabkan bola terkena bekas penyerang Liverpool itu dan masuk ke pintu gol yang terbuka luas.

“Saya benar-benar suka dengan penghormatan yang kami tunjukkan hari ini,” kata Klopp.

“Saya sudah berkata sebelum perlawanan di mana ia kelihatan seperti peluang untuk satu kejutan besar, semua orang mungkin menantinya dan mungkin tajuk utama berita sudah ditulis.

“Saya memberitahu pemain tentang tajuk yang saya lebih sukar, iaitu ‘mentaliti hebat di kelab’. Pemain melakukan tugas yang hebat sekali.”

Pierre-Emerick Aubameyang menjadi wira Arsenal sekali lagi apabila menewaskan Burnley 2-1 di Stadium Emirates.

Aubameyang menjaringkan gol tunggal kemenangan ketika menewaskan Newcastle minggu lepas dan mengekalkan rentak gol apabila menjaringkan gol kemenangan.

Gol pertama Alexandre Lacazette musim ini meletakkan Arsenal di hadapan tetapi Burnley mengikat kedudukan menerusi gol Ashley Barnes sebelum rehat.

Dengan dua kemenangan berturut-turut yang pertama di awal musim dalam tempoh 10 tahun, petanda awal menggalakkan buat skuad kendalian Unai Emery menjelang pertemuan lebih sukar menentang Liverpool dan Tottenham selepas ini. — AFP

Advertisement