Anda di sini

Tetak perut rakan sekerja gara-gara dicabar ketika mabuk

Advertisement
STANLEY
STANLEY

SIBU: Berang dicabar, seorang buruh bertindak menetak rakan sekerjanya di bahagian perut setelah bertengkar di bawah pengaruh alkohol, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, polis menerima panggilan melaporkan pergaduhan berlaku di Jalan Teku di sini sekitar jam 6 petang.

"Anggota polis yang tiba di lokasi kejadian mendapati mangsa terbaring dalam keadaan berdarah serta luka di sebelah kanan perutnya.

"Pihak ambulans telah dihubungi dan mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sibu untuk menerima rawatan lanjut," jelasnya dalam satu kenyataan, semalam.

Stanley berkata, suspek, 46, telah tampil menyerah diri dan mengaku menetak mangsa menggunakan parang.

"Suspek ketika ditangkap masih di bawah pengaruh alkohol dan permohonan reman ke atasnya akan dibuat di Mahkamah Majistret Sibu," katanya sambil menambah lelaki itu turut dirujuk ke bahagian narkotik untuk menjalani ujian saringan air kencing.

Menurutnya lagi, mangsa, 28, yang mengalami kecederaan di bahagian luar dan dalaman badan kini dalam keadaan stabil.

Hasil siasatan awal katanya, mangsa dan suspek adalah rakan sekerja yang tinggal di kediaman milik syarikat.

“Punca kejadian adalah disebabkan mangsa dan suspek telah bertengkar di bawah pengaruh alkohol.

"Cabar-mencabar telah berlaku menyebabkan suspek mengambil parang miliknya lalu menetak mangsa di bahagian perut," katanya.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Advertisement