Anda di sini

Tetak: Ibu jari OCPD Besut disambung terpaksa dibuang kerana jangkitan

Advertisement

KEMAMAN: Ibu jari Ketua Polis Daerah Besut, Supt Mohd Zamri Mohd Rowi yang putus dan disambung semula selepas ditetak lelaki dipercayai pesakit mental Khamis lepas terpaksa dibuang kerana mengalami jangkitan kuman.

Ketua Polis Terengganu Datuk Aidi Ismail berkata keadaan Mohd Zamri dilaporkan sudah stabil selepas menjalani pembedahan kali kedua Jumaat malam untuk membuang semula ibu jarinya itu dan kini masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan.

“Pada mulanya pembedahan kali pertama untuk menyambung semula ibu jari yang putus itu berjaya dilakukan pada hari kejadian dan memakan masa selama 12 jam bermula jam 5 petang.

“Tetapi pada hari esoknya (Jumaat lepas) doktor terpaksa melakukan pembedahan sekali lagi untuk membuang ibu jari tersebut kerana ia didapati telah dijangkiti kuman dan sampai ke otak, “ katanya selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kemaman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman, di sini semalam.

Katanya Mohd Zamri masih menggunakan alat bantuan pernafasan dan dijangka mengambil masa tiga bulan untuk betul-betul pulih sebelum dapat kembali bertugas.

Terdahulu majlis tersebut menyaksikan, Supt Hanyan  Ramlan yang berpengalaman selama 26 tahun terutama dalam bidang jenayah berat telah dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kemaman yang baharu menggantikan Supt Mohd Said Ibrahim yang bertukar ke IPD Seremban dengan jawatan sama.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din.

Dalam perkembangan lain Aidi turut meminta orang awam terutama nelayan yang terlihat atau menemui mayat  di laut supaya melaporkan segera kepada pihak polis atau Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu.

“Terdapat dakwaan bahawa ada nelayan yang menemui mayat dipercayai lelaki yang hilang semasa berkayak di perairan Mersing, Johor, 8 Ogos lepas tetapi tidak memaklumkan kepada pihak berkuasa.

“Oleh itu saya memohon kepada mana-mana nelayan atau orang awam yang terlihat atau mempunyai petunjuk supaya melaporkan dengan segera kerana keluarga mereka sangat berharap dapat membawa pulang mangsa dalam apa jua keadaan,” katanya.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) warga Singapura Tan Eng Soon, 62, yang hilang ketika berkayak di perairan Mersing, Johor yang masuk hari ke-10 semalam diteruskan dengan sektor pencarian seluas 100 batu nautika persegi dari persisir pantai Merchang, Marang hingga ke muara Kuala Terengganu. — Bernama

Advertisement