Anda di sini

Taman Tunku diisytihar kawasan wabak denggi

Advertisement
 Kakitangan MBM dari bahagian kesihatan awam, melakukan aktiviti pengasapan di kawasan Taman Awam Miri untuk menghapuskan nyamuk aedes.
CEGAH: Kakitangan MBM dari bahagian kesihatan awam, melakukan aktiviti pengasapan di kawasan Taman Awam Miri untuk menghapuskan nyamuk aedes.

MIRI: Kawasan penempatan atau perumahan Taman Tunku di sini, diisytiharkan sebagai kawasan wabak denggi di Miri, dengan 49 kes dilaporkan sepanjang lapan bulan pertama tahun ini.

“Setakat ini, hanya kawasan Taman Tunku sahaja yang diisytiharkan sebagai kawasan wabak denggi di Miri oleh Jabatan Kesihatan Sarawak dengan 49 kes dilaporkan bagi tempoh Januari hingga 12 Ogos 2019,” kata Datuk Bandar Miri, Adam Yii.  

Berbanding tempoh yang sama 2018, tidak ada satu kes dilaporkan di kawasan berkenaan, dengan pihak Majlis Bandaraya Miri (MBM) dan Jabatan Kesihatan bahagian memandang serius kes berkenaan.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai supaya mengambil langkah-langkah pencegahan untuk menangani denggi mengikut garis panduan yang disyorkan oleh pihak berkuasa berkenaan seperti Kementerian Kesihatan.

“Saya menyeru dan berharap agar penduduk Miri terutama di Taman Tunku bertanggungjawab untuk mencegah wabak denggi, dengan menjaga kebersihan kawasan sekitar mereka bagi memastikan ia bebas daripada menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes,” katanya kepada Utusan Borneo di sini semalam.  

“Dalam perkara ini, saya mahu orang ramai mengambil langkah-langkah yang disyorkan untuk mencegah denggi.

“Ini termasuk pemeriksaan secara berkala dan pembersihan kawasan rumah dan sekitar kediaman mereka dengan memastikan tiada bekas yang boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes, selain menggunakan semburan aerosol atau ubat nyamuk lain untuk nyamuk dewasa,” tambahnya lagi.

Menurut Adam, aktiviti pengendalian dan pencegahan yang komprehensif telah dijalankan di semua lokasi termasuk penghapusan kawasan pembiakan nyamuk aedes, tindakan penguatkuasaan dan aktiviti pendidikan bagi meningkat kesedaran orang awam.

Turut dilakukan ialah aktiviti pengasapan nyamuk kawasan Taman Tunku dan kawasan-kawasan lain sekitarnya.

Pada Rabu lalu, aktviti pengasapan turut diadakan di kawasan Taman Awam Miri, salah satu lokasi tumpuan ramai.

Advertisement