Anda di sini

Suami isteri, bayi lelaki maut dalam kebakaran

Advertisement
 
 
KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri bersama bayi lelaki mereka maut dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Alah Batu, Jalan Kuala Slim di Slim River, awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Azman Ab Rahman berkata ketiga-tiga mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Mohd Sharidan Abdul Aziz dan isteri Siti Rafini Mohd Rafiee, masing-masing berumur dalam lingkungan 30-an manakala anak lelaki mereka Rafiq Mohd Sharidan berusia hampir setahun. 

Azman berkata hasil siasatan awal mendapati ketiga-tiga mangsa ditemui di dalam satu bilik di rumah dan dalam keadaan rentung. 

“Punca kebakaran masih belum dapat dipastikan dan masih menunggu laporan daripada Unit Forensik Bomba,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Terdahulu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada pukul 3.51 pagi.

"Kami segera mengerahkan anggota dan pegawai daripada Balai Bomba dan Penyelamat Slim River serta bantuan dari Tanjung Malim dan Kuala Kubu Bharu bagi kerja menyelamat sebaik menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya menemui mayat suami isteri berusia lingkungan 30-an bersama bayi berusia hampir setahun berkenaan di dalam bilik pertama rumah berkeluasan 20x60 kaki persegi itu yang mengalami kebakaran sebanyak 70 peratus.

"Semua mangsa disahkan maut di tempat kejadian," katanya.

Kesemua mayat mangsa dihantar ke Hospital Slim River untuk tindakan lanjut.

  • oleh
  • Advertisement