Anda di sini

Salah guna harta, lelaki mengaku tidak salah

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, atas tuduhan dengan curang menyalahgunakan harta wang tunai sebanyak RM207,500.

Majistret Stephanie Sherron Abbie menetapkan pengurusan kes pada 3 September terhadap Mohd Hafiq Ezuddin Suitnoh, 29, yang didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Tertuduh menyalahgunakan sejumlah wang terbabit milik Muhd Adil K. Rakhbir Singh, 18, yang dimasukkan ke dalam akaunnya, pada 27 April hingga 23 Mei tahun lalu di sini.

Jika didapati bersalah, penjara antara enam bulan hingga tempoh lima tahun, atau dengan sebat atau denda.

Terdahulu peguam Shahlan Jufry mewakili tertuduh berkata, anak guamnya tidak bekerja dan tinggal bersama keluarganya, serta tidak mempunyai risiko melarikan diri.

Oleh itu, beliau memohon supaya mahkamah membenarkan sejumlah ikat jamin yang rendah diberikan kepada tertuduh.

Sementara menunggu kes selesai, mahkamah membenarkan Mohd Hafiq dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM2, 500 dicagarkan dua penjamin tempatan.

Pegawai Pendakwa Insp Suzie@Stephanie Kupit melakukan pendakwaan terbabit.

  • oleh
  • Advertisement