Anda di sini

PTPTN giat promosi geran sepadan untuk golongan B40

Advertisement

KAMPAR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)  akan terus menggiatkan promosi skim insentif Geran Sepadan untuk menggalakkan lebih ramai ibu bapa daripada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) menabung dalam skim berkenaan.

Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan berkata ini kerana peruntukan yang disediakan kerajaan Persekutuan sejak 2003 berjumlah RM1 bilion hanya digunakan sejumlah RM2.41 juta sahaja setakat ini.

Katanya jumlah penerima yang mendapat manfaat berkenaan adalah terlalu kecil iaitu seramai 1,670 pendeposit dengan bilangan akaun sebanyak 1,803 sehingga 31 Mac 2019.

“Kita akan melipatgandakan promosi dan kempen mengenai Geran Sepadan ini bagi memastikan golongan B40 mendapat sepenuhnya manfaat yang telah disediakan kerajaan kerana kita tidak mempunyai tempoh masa tertentu untuk mencapai sasaran selagi peruntukan sebanyak RM1 bilion itu belum habis digunakan sepenuhnya,” katanya.

Wan Saiful bercakap kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program Jelajah Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) 2019 peringkat negeri yang dirasmikan Exco Komunikasi, Multimedia, NGO dan Penerangan negeri Hasnul Zulkarnain Abd Munaim di Arena Rakyat Tualang Sekah di sini, semalam.

Wan Saiful berkata insentif Geran Sepadan diberikan secara percuma sehingga RM10,000  untuk sebuah keluarga B40 membuat penabungan bagi tujuan pendidikan tinggi anak-anak mereka.

Beliau berkata perkara itu diumumkan Tun Dr Mahathir Mohamad semasa memegang jawatan Perdana Menteri ketika itu pada pembentangan Bajet 2003.

Sementara itu,  Wan Saiful berkata pihaknya menyasarkan jumlah simpanan sebanyak RM1 bilion dengan 500,000 akaun baharu akan dibuka pada tahun ini.

“Sehingga 30 Jun tahun ini, sejumlah 256,000 akaun baharu telah dibuka dan ini merupakan cabaran bagi PTPTN bagi memastikan sasaran dapat dicapai dengan melakukan pelbagai strategi selain pelbagai langkah baharu perlu diambil termasuk mengadakan kerjasama dengan semua kerajaan negeri.

Terdahulu, Hasnul Zulkarnaian dalam ucapan perasmiannya berkata Perak adalah antara yang terawal menjadikan SSPN sebagai inisiatif kepada rakyat di negeri itu dengan menyediakan sumbangan dalam bentuk akaun SSPN kepada anak kelahiran Perak di bawah program Tabung Simpanan Pendidikan Negeri Perak yang disalurkan melalui Yayasan Perak.

Beliau berkata menerusi program itu yang diperkenalkan sejak 2010, setiap kelahiran baharu akan menerima RM200 sebagai sumbangan yang dimasukkan terus ke akaun SSPN.

“Saya yakin kerajaan negeri akan meneruskan program ini pada tahun seterusnya demi masa depan anak-anak kelahiran negeri ini,” katanya.

Pada majlis itu, PTPTN turut menyampaikan sumbangan simpanan akaun SSPN-i kepada 960 anak-anak asnaf melibatkan 24 kawasan parlimen di negeri ini menerusi peruntukan wakalah zakat PTPTN berjumlah RM96,000.

Menerusi sumbangan itu, setiap pelajar yang terpilih menerima RM100 dalam bentuk akaun SSPN-i yang akan dibuka PTPTN melalui kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri. — Bernama

Advertisement