Anda di sini

Proton X70 Edisi Merdeka dilancar, terhad sebanyak 62 unit

Advertisement
 Dari kiri,  Ketua Pegawai Eksekutif  Ming Heng  Motor Sdn Bhd, Tan Tino;  Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong; Pengerusi  Ming Heng  Motor Sdn Bhd, Datuk Walter Goh dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dato’ Radzaif Mohamed.
RAI KEMERDEKAAN: Dari kiri, Ketua Pegawai Eksekutif Ming Heng Motor Sdn Bhd, Tan Tino; Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong; Pengerusi Ming Heng Motor Sdn Bhd, Datuk Walter Goh dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dato’ Radzaif Mohamed.

KUCHING: PROTON melancarkan SUV keluaran terhad pertama dengan memperkenalkan Proton X70 Edisi Merdeka (EM) di salah sebuah cawangan pengedarnya di pusat pameran 4S Ming Heng Motor yang terletak di Setapak, Subang Jaya.

Didatangkan secara eksklusif pada model Proton X70 varian premium, sebanyak 62 unit Proton X70 EM ditawarkan pada harga RM126,100 dengan dua warna pilihan iaitu putih (snow white) atau merah (flame red).

Proton X70 ini dihasilkan seiring dengan ulang tahun Merdeka ke-62.

Model edisi terhad yang dikeluarkan ini seiring dengan sambutan ulang tahun kemerdekaan Malaysia ke-62.

Matlamat PROTON adalah untuk menjual keluaran edisi terhad ini semasa Bulan Kemerdekaan iaitu Bulan Ogos di mana syarikat yakin ia mampu dicapai memandangkan permintaan tinggi terhadap model ini.

Secara mekanikal, Proton X70 EM ini mempunyai ciri-ciri yang sama pada varian Premium SUV sedia ada Syarikat.

Perbezaan yang dilakukan adalah pada rekaan luar dan beberapa tambahan pada bahagian dalam.

Pada bahagian luar, bumbung dan bahagian A-pillar telah diwarnakan dengan cat yang dikenali sebagai Quartz Black.

Visor pintu turut dipasang di sekeliling kereta bersama plat pelindung (scuff plate) di bampar belakang dan bagi melengkapkan sentuhan akhir, lambang atau emblem ‘Merdeka Edition’ telah diletakkan di bahagian belakang.

Di bahagian dalam pula, PROTON turut menggantikan alas kaki baharu, pelapik but belakang dan lambang Edisi Merdeka bernombor khas untuk menjadikan setiap unit model ini unik.

Kerusi dengan kulit Nappa dan bumbung kaca serta Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) yang terdapat pada varian Premium sedia ada turut dilengkapkan pada model EM ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Dr Li Chunrong, Proton X70 EM ini merupakan hasrat PROTON yang ingin meraikan ulang tahun kemerdekaan Malaysia.

“Kami amat berterima kasih di atas sokongan daripada pelanggan dan kerajaan Malaysia terhadap PROTON.

“Jadi melalui pengeluaran model Proton X70 edisi khas ini adalah cara syarikat menunjukkan penghargaan kepada semua rakyat Malaysia,” katanya menerusi kenyataan media pada Jumaat

Advertisement