Anda di sini

Piala Malaysia: Laluan semakin sukar buat Sabah

Advertisement
 Mendes (tengah) melakukan percubaan dalam perlawanan Piala Malaysia Sabah menentang Pahang di Stadium Likas, Sabtu lalu. Gambar ihsan Media SAFA.
PERCUBAAN: Mendes (tengah) melakukan percubaan dalam perlawanan Piala Malaysia Sabah menentang Pahang di Stadium Likas, Sabtu lalu. Gambar ihsan Media SAFA.

KOTA KINABALU: Kalah 1-2 di tangan Pahang dalam saingan Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Likas, Sabtu lalu menyempitkan lagi peluang Tambadau Sabah ke pusingan suku akhir.

Ia adalah perlawanan terakhir pusingan pertama yang menyaksikan Sabah gagal meraih sebarang mata dari tiga perlawanaan untuk berada di tangga tercorot di kalangan empat pasukan.

Pahang pula terus gah sebagai pendahulu selepas mengutip maksimum sembilan mata dari tiga perlawaanan untuk semakin hampir mengesahkan tempat ke suku akhir yang diperuntukkan kepada dua pasukan teratas.

Perak dan Pulau Pinang berkongsi jumlah kutipan empat mata selepas pertemuan antara kedua-dua pasukan itu dalam kumpulan sama berkesudahan seri 1-1.

Ketua pasukan Sabah; Jelius Ating akui laluan ke suku akhir semakin sukar tetapi menegaskan  bukan bermakna mereka sudah mengaku kalah kerana masih ada baki tiga perlawanan. 

"Peluang ke suku akhir memang sudah terlalu sukar selepas kalah tiga perlawanan pertama ini. Bagaimanapun bukan bermakna kami sudah menyerah kalah. Kami akan terus berjuang.

"Kita perlu sedar juga bahawa baki tiga perlawanan itu bukan sahaja untuk mengejar tempat ke peringkat seterusnya tetapi yang paling penting adalah untuk menjaga kredibiliti pasukan.

"Pemain juga perlu menunjukkan kemampuan mereka secara peribadi dan jaga maruah pasukan seperti yang dipesankan Datuk Presiden (Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) Datuk Peter Anthony) bahawa prestasi pemain dalam saingan Piala Malaysia ini juga antara yang diambil kira bagi menentukan kedudukan mereka dalam pasukan untuk musim depan," kata Jelius ketika dihubungi.

Sehubungan dengan itu katanya, mereka perlu terus berusaha kerana walau di mana pun kedudukan pasukan, tugas dalam setiap perlawanan tetap sama iaitu main untuk buru kemenangan.

Mengenai kekalahan di tangan Pahang, Jelius berkata, beliau tidak berpuas hati dengan persembahan pemain terutamanya pada separuh masa pertama.

"Mungkin pemain kita terlalu menghormati dan menganggap Pahang terlalu kuat bagi mereka terutama dengan status lawan selaku naib juara Liga Super musim ini dan telah menang mudah dua lawan (Pulau Pinang dan Perak) yang menewaskan kami sebelum ini," kata Jelius.

Perlawanan Sabtu lalu menyaksikan Sabah ketinggalan 2-0 pada separuh masa pertama. 

Semangat skuad bergelar Tambadau itu  disentap seawal minit pertama apabila gawang mereka bolos oleh gerakan pertama Pahang menerusi Dickson Nwakaeme.

Nwakaeme melakukan gerakan badan mengelirukan pertahanan Sabah, Park Tae Sue untuk menyambar dan menyepak masuk hantaran Mohd Faisal di dalam kotak penalti.

Gol itu menyemarakkan semangat pasukan pelawat dan mereka menambah jaringan menerusi Lazarus Kaimbi yang berjaya menggelecek ketua pasukan Rawilson Batuil dan Park sebelum melepaskan sepakan menewaskan penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim pada minit ke-34.

Sebelum itu, Sabah berpeluang mengancam gawang Pahang tetapi percubaan cantik Alto Linus juga ditepis cantik oleh penjaga gol Mohd Helmi Eliza Elias pada minit ke-16. 

Helmi juga membaca tepat tandukan menjunam Rodoljub Paunovic terhadap hantaran Alto pada minit ke-36.

Pada minit ke-39, giliran Rozaimie dipaksa melayangkan badan menepis sepakan percuma Norshahrul Idlan Talaha.

Masa rehat dimanfaatkan Jelius untuk memberi kata dua serta motivasi kepada anak buahnya dan pemain memberi respon positif apabila lebih banyak menguasai aksi babak kedua.

Bagaimanapun hanya satu gol mampu dihasilkan menerusi Aguinaldo Mendes dengan sepakan lipat ketika berlaku pergelutan di depan gawang Pahang pada minit ke-53. 

Sabah mencipta empat lagi peluang baik berbanding satu dari Pahang tetapi gagal diterjemahkan kepada jaringan dengan Helmi menjadi penyelamat bertindak cemerlang di gawang.

Sabah juga gagal memanfaatkan peuang ketika Pahang bermain dengan 10 pemain dalam enam minit terakhir apabila Muhammad Safuwan Baharudin dilayangkan kad kuning kedua untuk layangan kad merah.

"Walapun kalah, saya tetap beri pujian dengan prestasi pemain di separuh masa kedua. Ia adalah seperti yang saya harapkan, pemain muda kita perlu main dengan keyakinan seperti itu..perlu yakin bahawa mereka sebenarnya mempunyai kemampuan yang baik.

"Cuma pemain-pemain muda kita ini mungkin masih kurang dari segi pengalaman berbanding Pahang tetapi saya harap mereka belajar sesuatu dari perlawanan ini," kata Jelius.

Sabah akan meneruskan cabaran memulakan pusingan kedua menentang Pahang juga tetapi di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 24 Ogos ini. 
Kedudukan Kumpulan C

P    M    S    K    J    B    MT
1. Pahang    3    3    0    0    8    2    9
2. Perak    3    1    1    1    4    4    4
3. P Pinang    3    1    1    1    4    5    4
4. Sabah    3    0    0    3    2    7    0

  • oleh
  • Advertisement