Anda di sini

Persepsi PBB adalah kerajaan perlu dipecah: Mohamad

Advertisement
 Mohamad (kanan) tiba bagi perasmian Konvensyen BPR AMANAH Sarawak di Kuching semalam.
SELAMAT DATANG: Mohamad (kanan) tiba bagi perasmian Konvensyen BPR AMANAH Sarawak di Kuching semalam.

KUCHING: Persepsi rakyat negeri ini bahawa Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) adalah kerajaan dan kerajaan adalah PBB perlu dipecahkan untuk Pakatan Harapan (PH) menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijadualkan pada 2021.

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu berkata, persepsi ini sudah sinomin dengan rakyat Sarawak dan ia perlu diubah walaupun kenyataannya adalah sukar.  

“Sama seperti di Semenanjung, rakyat dahulunya beranggapan bahawa UMNO itu adalah kerajaan dan sesiapa yang menentang UMNO adalah menentang kerajaan.

“Begitu juga di Sarawak, rakyat beranggapan bahawa PBB adalah kerajaan dan kerajaan adalah PBB sedangkan PBB itu hanyalah sebuah parti politik.

“Jadi untuk ubah persepsi adalah tidak mudah, tetapi saya yakin akan berlaku perubahan pada Pilihan Raya Negeri yang akan datang ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Biro Pilihan Raya (BPR) AMANAH Sarawak di sebuah hotel di sini semalam.

Turut hadir Pengarah BPR AMANAH Nasional Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli dan Pengerusi Amanah Sarawak Mohamad Fidzuan Zaidi serta yang lain.

Ditemui selepas perasmian konvensyen tersebut, Mohamad berkata selepas kemenangan PH yang lepas, beberapa pemimpin dari Sarawak dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri.

Pelantikan ini katanya, sedikit sebanyak mengubah persepsi rakyat bahawa parti PH adalah parti nasional dan jika menang akan berkhidmat untuk semua.

“Hendak ubah minda seperti yang saya sebut mengambil masa dan kita akan turun padang memberi penerangan serta mendampingi masyarakat.

“Saya yakin Pilihan Raya Negeri yang akan datang ini kita akan lihat perubahan di sini,” katanya yang juga Menteri Pertahanan.

Pada majlis tersebut, Mohamad turut mengingatkan semua parti-parti komponen PH agar kekal bersatu.

“Parti kita AMANAH tidak akan menang satu kerusi jika bertanding sendiri begitu juga dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Ini adalah formula penting dan jangan ada niat berpecah dalam kalangan PH,” ujarnya yang turut yakin PH akan memerintah negara untuk penggal kedua.

Sementara itu, Mohamad Fidzuan berkata konvensyen itu adalah kesinambungan daripada pelancaran jentera AMANAH tahun lepas.

Konvensyen ini katanya, adalah penting untuk AMANAH mengatur strategi bagi menghadapi PRN yang dijadual pada tahun 2021.

“Konvensyen ini adalah penting untuk kita memindahkan kepakaran pilihan raya daripada pemandu di peringkat nasional kepada jentera Sarawak.

“Kita mahu orang Sarawak sendiri berkempen untuk AMANAH dengan kepakaran yang diperturunkan oleh BPR pusat kepada BPR negeri,” ujarnya.

  • oleh
  • Advertisement