Anda di sini

Pencarian diteruskan

Advertisement
 Mohamad (kiri) tiba untuk menghadiri Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia dan Pingat Kedaulatan Negara di Kem Rascom, Sibu petang semalam.
KETIBAAN: Mohamad (kiri) tiba untuk menghadiri Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia dan Pingat Kedaulatan Negara di Kem Rascom, Sibu petang semalam.

SIBU: Kementerian Pertahanan memberi jaminan operasi mencari dua anggota tentera dari Sarawak yang hilang di Pulau Perak, Kedah pada Julai lepas akan tetap diteruskan.

Menterinya Mohamad Sabu berkata, pencarian juga akan melibatkan kawasan kepulauan dan pantai.

"Kami sudah memaklumkan perkara ini semasa bertemu dengan keluarga Lans Koperal Moses Logers di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching sebelum ke sini tadi (semalam)," katanya pada sidang media di sini, petang semalam.

Seorang lagi anggota yang hilang ialah Korperal David Edmund Rapi dari Dalat.

Bagaimanapun katanya, kementerian akan mengatur satu lagi pertemuan dengan keluarga tersebut pada masa akan datang.

Terdahulu, Mohamad menyempurnakan Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) dan Pingat Kedaulatan Negara (PKN) di Kem Rascom, Batu 10, di sini.

Beliau berkata, pencarian melibatkan David dan Moses akan dipergiat jika pihaknya mendapat petunjuk baharu mengenai kehilangan mereka.

"Tentera mempunyai prosedur standard operasi (SOP) mereka untuk melakukan pencarian.

"Usaha akan terus dibuat untuk mencari mereka," katanya lagi.

Sebagai contoh katanya, pencarian kapal terbang MH370, terdapat tempoh masa pencarian dihentikan selepas tempoh masa tertentu kerana mengikut SOP yang telah ditetapkan.

Sementara itu, Mohamad memberitahu kementeriannya telah mengemukakan kertas cadangan kepada Kementerian Kewangan mengenai elaun untuk penerima PJM.

Beliau berharap, elaun yang dikenali sebagai 'Kenangan PJM' itu akan membantu golongan veteran untuk menampung kenaikan kos sara hidup.

Pada majlis tersebut, beliau telah menyampaikan pingat PJM dan PKN kepada seramai 200 penerima.

Sebelum ke Kem Rascom, Mohamad Sabu mengadakan lawatan julung kali ke Markas Briged Ke-31 Infantri Rejimen Sempadan (RS) 6 di Kem Junaco.

Ketibaan beliau pada jam 4.50 petang disambut oleh Panglima Briged Ke-31 Infantri Brigedier Jeneral Datuk Johnny Lim Eng Seng, Panglima Medan Timur Tentera Darat Datuk Wira Zamrose Mohd Zain serta yang lain.

Turut menyambut ketibaan beliau ialah pengusaha Kem Junaco Khiu Siong Hii dan pegawai-pegawai kanan di bawah naungan Briged Ke-31 Infantri.

Beliau kemudian dibawa masuk ke pejabat untuk diberikan taklimat.

Mohamad kemudiannya dibawa melawat sekitar kawasan Kem Junaco, sebelum menghadiri jamuan ringan di Dewan Makan Kem Junaco.

  • oleh
  • Advertisement