Anda di sini

Pemandu bas mini didakwa cabul kehormatan pelancong wanita

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Seorang pemandu bas mini dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini, atas tuduhan mencabul kehormatan seorang pelancong wanita warga asing.

Mandulin Affendi, 30, yang diwakili peguam P.J Perira walau bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Jessica Ombou Kakayun.

Tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah mencabul mangsa, pada 11 Ogos jam 3 petang di dalam sebuah bas mini, Jalan Bukit Bendera di sini.

Sabit salah mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, penjara selama tempoh 10 tahun atau denda, atau dengan sebat, atau mana-mana daripada seksaan terbabit.

Sementara menunggu kes selesai, tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM3,000 dicagarkan dua penjamin tempatan, selain diperintahkan melaporkan diri kepada pegawai penyiasat setiap minggu.

Mahkamah menetapkan tarikh pengurusan kes pada 17 September terhadap Mandulin, bagi menentukan tarikh perbicaraan.

Pegawai Pendakwa Insp Lim Swee Beng melakukan pendakwaan terbabit.

Memetik laporan akhbar tempatan sebelum ini, seorang pemandu bas mini ditahan polis kerana disyaki mencabul pelancong wanita warga Jepun berusia 40 tahun.

Suspek ditahan kira-kira jam 10.30 malam pada hari sama, di hadapan sebuah kedai di Jalan Sulaman di sini, setelah mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Hasil siasatan awal mendapati, mangsa baharu tiba di bandar raya ini, menaiki bas mini yang dipandu suspek di Terminal Bas Bandaraya untuk ke Masjid Bandaraya Kota Kinabalu.

Selesai melawat kawasan masjid, mangsa minta dihantar semula ke terminal, setibanya di Bukit Bendera, suspek tiba-tiba memegang kemaluan dan memeluk mangsa.

Mangsa kemudiannya yang ditinggalkan di Jalan Dewan meminta pertolongan orang awam untuk membuat laporan polis.a

  • oleh
  • Advertisement