Anda di sini

Pelantikan pengganti Wong  Soon Koh adalah prerogatif saya- Abang Johari

Advertisement
Abang Johari ditemui selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi GPS di Ibu Pejabat PBB hari ini.
Abang Johari ditemui selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi GPS di Ibu Pejabat PBB hari ini.

KUCHING: Pengganti Dato Sri Wong Soon Koh bagi jawatan Menteri Kewangan Kedua dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang akan diputuskan sendiri oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg. 

Abang Johari yang ditemui selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Gabungan Parti Sarawak (GPS) di sini hari ini berkata,  ia adalah prerogatif beliau sebagai Ketua Menteri untuk membuat keputusan. 

“Soal pengganti  Wong Soon Koh masih belum dibincangkan kerana tarikh peletakan jawatan beliau berkuatkuasa 15 Ogos lepas. 

“Ia adalah prerogatif Ketua Menteri untuk memutuskan perkara ini dan saya akan maklumkan anda nanti,” katanya yang enggan mengulas panjang mengenai perkara ini. 

Soon Koh mengumumkan peletakan jawatan pada 15 Julai lepas pada satu sidang media di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur di sini. 

Keputusan tersebut dibuat oleh Soon Koh  yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan dan Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) susulan keputusan Kabinet Negeri untuk tidak melantik ahli PSB sebagai Kaunselor di pihak berkuatan tempatan (PBT). 

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Masing yang ditemui selepas mesyuarat yang sama hari ini turut menegaskan bahawa Ketua Menteri akan memutuskan sendiri pengganti Wong. 

“Kami tidak berani untuk bertanyakan kepada beliau (Ketua Menteri) dan beliau (Ketua Menteri) akan membuat keputusan kerana ia adalah prerogatif Ketua Menteri. 

“Memandangkan ia hanya melibatkan jawatan Menteri Kewangan Kedua maka tidak perlu tergesa-gesa. Lain lah kalau melibatkan jawatan Menteri Kewangan Pertama ia perlu segera diisi,” kata Masing yang juga Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS). 

Tambah Masing lagi, dalam hal melibatkan jawatan dalam kabinet ini, lazimnya Ketua Menteri akan mendapatkan pandangan dari ramai individu namun secara bersendirian. 

“Beliau (Ketua Menteri) akan mendapatkan pandangan daripada orang lain, tetapi bukan dalam kumpulan. 

“Beliau (Ketua Menteri) akan berjumpa dengan seorang demi seorang dan begitulah kebiasaanya yang dibuat kerana jika dibuat dalam kumpulan ia akan ada perbalahan,” ujar Masing. 

Dalam pada itu mesyuarat hari ini adalah mesyuarat biasa untuk berbincang mengenai situasi politik semasa serta program pembangunan yang dirancang bagi bajet akan datang. 

  • oleh
  • Advertisement