Anda di sini

Lelaki tempatan dipenjara dan disebat kerana memperdaya

Advertisement
 

SANDAKAN: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara selama tiga tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini kelmarin atas kesalahan memperdaya.

Majistret, Herlina Muse menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Zakuan Albi, 30, kerana memperdaya seorang lelaki di sebuah pejabat gudang di Batu Sapi di sini pada jam 3 petang 20 Mac yang lalu.

Berdasarkan fakta kes, pengadu membuat laporan polis selepas mendapati dirinya diperdaya tertuduh sebanyak RM1,180. Duit itu diserahkan kepada tertuduh untuk tujuan pembayaran deposit rumah di PPR Taman Harmoni.

Hasil siasatan mendapati pengadu telah berurusan dengan tertuduh untuk mendapatkan rumah PPR Taman Harmoni. Pengadu menyerahkan sejumlah duit kerana mempercayai pengadu boleh membantu dalam urusan mendapatkan rumah itu.

Bagaimanapun, semakan dari Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) mendapati nama pengadu tiada dalam senarai pemohon, manakala tertuduh bukan ejen sah yang dilantik oleh MPS.

Atas kesalahan itu, Mohd Zakuan didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, ASP Tan Hiap Wah.

Tertuduh sebelum ini pernah dijatuhi hukuman atas empat kesalahan yang sama dan majistret memerintahkan tertuduh untuk menjalani hukuman itu secara berasingan.

  • oleh
  • Advertisement