Anda di sini

Lebih setengah juta untuk menaik taraf Taman Sebangkoi

Advertisement
 Huang merakam gambar bersama jawatankuasa penganjur ‘Sebangkoi Mountain Bike Challenge 2019.’
HARUNGI CABARAN: Huang merakam gambar bersama jawatankuasa penganjur ‘Sebangkoi Mountain Bike Challenge 2019.’

SARIKEI: Kerajaan Sarawak memperuntukkan sebanyak RM508,800 untuk menaik taraf Taman Sebangkoi melalui Majlis Daerah Sarikei (MDS) dalam usaha mengembalikan zaman kegemilangan taman itu sebagai destinasi persinggahan dan pelancongan di kawasan tengah Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok Dato Sri Huang Tiong Sii berkata,  ia merangkumi usaha menaik taraf kemudahan di taman itu agar memberikan keselesaan kepada para pengunjung untuk menikmati alam semula jadi.

“Kita berusaha untuk mempromosikan Taman Sebangkoi ini sebagai satu destinasi persinggahan yang penting terutamanya bagi pengguna jalan raya yang bakal melalui Lebuh Raya Pan Borneo untuk berehat sambil beriadah  dan menikmati faura dan fauna.

“Selain itu, kita turut mempunyai perancangan untuk menjadikan Taman Sebangkoi sebagai lokasi untuk penggemar sukan lasak seperti berbasikal.

“Justeru, penganjuran ‘Sebangkoi Mountain Bike Challenge 2019’ adalah landasan terbaik dalam usaha menaikkan semula Taman Sebangkoi ini sebagai destinasi pelancongan dan lokasi sukan ekstrem di kawasan tengah Sarawak,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian ‘Sebangkoi Mountain Bike Challenge 2019’ di Taman Sebangkoi dekat sini, semalam.

Dalam cabaran ini, para peserta telah dibahagikan kepada lima kategori iaitu Lelaki Terbuka, Wanita Terbuka, Lelaki Veteran, Junior Terbuka dan Tertutup Sarikei.

Sementara itu, Huang berkata projek-projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Repok berjalan lancar.

“Sejak 2016, sebanyak 16 projek di bawah peruntukan RTP telah berjaya dilaksanakan, 2017 sebanyak 28 projek, 2018 (17 projek) dan tahun ini sebanyak 44 projek telah dilaksanakan.

“Kebanyakan peruntukan RTP ini dimanfaatkan untuk membina dan membaik pulih kawasan di rumah panjang, dewan orang ramai, rumah panjang, surau, gereja, tokong, sekolah, jalan gelanggang serba guna dan lain-lain.

“Pelaksanaan projek yang berimpak tinggi akan membantu masyarakat di kawasan luar bandar khasnya untuk meningkatkan taraf hidup mereka dan juga merapatkan jurang pembangunan bagi kawasan bandar dan juga luar bandar,” kata Huang.

Turut hadir Residen Bahagian Sarikei Felicia Tan Ya Hua, Pengerusi Majlis Daerah Sarikei Wong Zee Yeng, Presiden Basikal Sarawak Datuk Benjamin Hasbie dan Setiausaha MDS Sait Enggang.

Advertisement