Anda di sini

KPDNHEP serah kuasa kawal selia pengagihan gas di Sarawak kepada kerajaan negeri- Pejabat Perdana Menteri

Advertisement
 

KUCHING:Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bersetuju menyerahkan kuasa kawal selia pengagihan gas di Sarawak mengikut Ordinan Pengagihan Gas (GDO) Sarawak 2016. 

Perkara itu didedahkan dalam kenyataan akhbar dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri selepas mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet untuk Menyemak Pelaksanaan Perjanjian Malaysia yang keempat tersebut telah dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 23 Julai lalu.

Penyerahan  kuasa kawal selia itu antara  tujuh isu telah mendapat persetujuan selain empat belas isu masih memerlukan perbincangan lanjut dan dijangka untuk diputuskan sebelum 31 Ogos ini.

Isu lain yang telah mendapat persetujuan bersama adalah; tuntutan duti eksport balak dan hasil hutan, pengedaran gas dan kuasa kawal selia elektrik dan gas, pelaksanaan kerja raya Persekutuan dan Negeri.

Selain, tenaga buruh, kuasa negeri ke atas isu kesihatan, pentadbiran Pulau Sipadan dan Ligitan dan isu pertanian dan perhutanan.

"Tuntutan duti eksport balak dan hasil hutan telah dipersetujui sebagai selesai oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah pada Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Bil. 2/2019 berikutan persetujuan delegasi kuasa kepada Jabatan Perhutanan Sabah telah diberi sejak 1 Jun 2017.

"Manakala Kerajaan Negeri Sabah pula telah bersetuju untuk melaksanakan 'Due Diligence' sebelum penyerahan kuasa kawal selia gas dan elektrik dilakukan," jelas kenyataan itu.

Mesyuarat itu  dihadiri 23 ahli Jawatankuasa yang terdiri daripada Menteri-Menteri Kabinet Persekutuan, Ketua Menteri Sarawak, Ketua Menteri Sabah dan pegawai-pegawai tinggi Kerajaan Persekutuan, Sarawak dan Sabah.

Sementara itu, kerajaan Negeri Sarawak dan Sabah sebelum ini juga telah bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Kerja Pemantapan Kolaborasi Pelaksanaan Projek Persekutuan bagi membincangkan mekanisme pelaksanaan projek Persekutuan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 dan mengambil maklum cadangan di dalam Jawatankuasa Antara-Kerajaan (Inter-Governmental Committee –IGC).

Kerajaan Persekutuan juga secara prinsipnya tiada halangan melaksanakan tuntutan berhubung penurunan kuasa kepada Kerajaan Negeri Sarawak dan Sabah bagi membuat perundangan subsidiari mengenai “labour conditions peculiar to the state” di bawah Ordinan Buruh negeri masing-masing. 

Tindakan tersebut katanya sedang diambil bagi meminda Ordinan Buruh negeri masing-masing.

Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak dan Sabah bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Libat Urus secara berkala untuk membincangkan perkara-perkara berkaitan isu pengurusan kesihatan Negeri Sarawak dan Sabah.

Secara prinsipnya penyerahan kuasa urus tadbir Pulau Sipadan dan Ligitan khususnya berkaitan pelancongan kepada Kerajaan Negeri Sabah telah dipersetujui. Isu teknikal dan keselamatan sedang diperhalusi.

Isu pertanian dan perhutanan telah digugurkan di dalam mesyuarat jawatankuasa tersebut kerana kedua-dua perkara ini sudah sememangnya di bawah Senarai Negeri.

Pasukan petugas khas (Taskforce MA63) diarahkan untuk menyediakan satu laporan akhir sebelum 31 Ogos ini untuk dibentangkan di dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet yang akan datang.

Rundingan tersebut adalah selaras dengan Janji 40 yang terkandung dalam Manifesto Pakatan Harapan melalui persetujuan Jemaah Menteri pada 5 September 2018 untuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas Kabinet untuk menyemak pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963. 

Jawatankuasa Khas Kabinet itu dibantu oleh Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Kerja dan diurus setiakan oleh pasukan petugas khas dikenali sebagai Taskforce MA63.

Mesyuarat pertama sebelum ini telah diadakan pada 17 Disember 2018 dan 21 isu telah diterima oleh Jawatankuasa Khas Kabinet ini untuk diteliti dan dikaji. 

tamat

Advertisement