Anda di sini

Kes bunuh George Tang selesai dengan penahanan enam suspek

Advertisement
 ACP Lim menunjukkan sebahagian rangka lori yang berjaya ditemui pada Isnin di Tukau, Bakam.
ACP Lim menunjukkan sebahagian rangka lori yang berjaya ditemui pada Isnin di Tukau, Bakam.

MIRI: Polis yakin kes pembunuhan George Tang Kee Luang, 60, yang dilaporkan hilang pada 29 Jun lalu berjaya diselesaikan susulan penemuan lori mangsa dan keenam-enam suspek yang kini dalam tahanan reman.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah berkata, lori muatan tiga tan itu itu ditemui Isnin (18 Ogos) dalam keadaan yang dileraikan di Tukau, Bakam.

"Polis turut menemui pisau dan batang besi dipercayai digunakan suspek dalam kes tersebut."

"Selain itu kita turut merampas sebuah kenderaan jenis Perodua MyVi dipercayai mempunyai kaitan dengan kes tersebut," katanya semasa sidang media di Balai Polis Pusat (CPS) Miri, hari ini.

Katanya, motif pembunuhan masih dalam siasatan.

George Tang kali terakhir dilihat di Kawasan Perindustrian Piasau di sini sekitar jam 3 petang pada 29 Jun. 

Keluarga mangsa kemudiannya membuat laporan polis berkenaan kehilangannya pada hari sama selepas mangsa gagal pulang ke rumah.

Pada 2 Julai, satu sidang media diadakan di kediaman George Tang di Lutong di mana keluarganya menawarkan ganjaran RM10,000 kepada sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kedudukan mangsa dan juga lori yang dipandunya pada hari dia dilaporkan hilang.

Keesokannya, satu mayat tidak lengkap ditemui nelayan di Sungai Suai.

Mayat itu kemudiannya dibawa ke Hospital Miri untuk proses pengecaman namun keluarga George Tang pada ketika itu tidak dapat mengenal pasti mayat itu berikutan keadaan mayat yang tidak sempurna.

Ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dijalankan ke atas mayat itu dan selepas lebih sebulan, keputusan ujian yang dikeluarkan mengesahkan mayat yang ditemui itu adalah milik George Tang.


 

  • oleh
  • Advertisement