Anda di sini

Kerana dadah, bekas pemain bola sepak kena tujuh tahun

Advertisement
Izrol ketika diiring polis ketika menuju ke bilik tahanan Mahkamah Kuching hari ini.
Izrol ketika diiring polis ketika menuju ke bilik tahanan Mahkamah Kuching hari ini.

KUCHING: Seorang bekas pemain bola sepak dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah memiliki 86.95 gram dadah jenis ganja pada Mac lalu.

Muhammad Izrol Abdillah yang merupakan bekas pemain Piala Presiden Sarawak didakwa melakukan kesalahan terbabit di rumahnya di RPR Astana pada 19 Mac lalu, jam 7.50 malam. 

“Selepas meneliti fakta kes, penghujahan kedua-dua pihak serta mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh, mahkamah menetapkan agar tertuduh dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun bermula dari tarikh tangkap 19 Mac 2019,” ujar Hakim Marutin Pagan.

Menurut fakta kes, ketika serbuan dibuat, Izrol sedang berada di dalam biliknya dan sedang duduk di atas lantai. 

Pemeriksaan lanjut dibuat dan polis menemukan sebuah beg di hadapan Izrol. 

Apabila diperiksa, beg berkenaan mengandungi 15 plastik lutsinar berisi ceraian bahan tumbuhan kering dipercayai ganja.

Alat penimbang turut ditemui dan dirampas sebagai bahan kes.


Untuk kesalahan terbabit, lelaki yang berusia 30 tahun itu didakwa mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara tidak kurang lima tahun dan sebatan tidak kurang daripada 10.

Ketika membuat rayuan bagi pengurangan hukuman, Izrol melalui peguamnya, Roy Angau Gingkoi memohon agar diberikan hukuman penjara minimum.

“Anak guam saya menyesali perbuatannya. Dia turut mengalami sakit asma kronik di samping sedang menjaga ibu bapanya yang uzur. Ibu bapanya juga mempunyai masalah ‘slipped disc’ selain mempunyai penyakit seperti darah tinggi,” ujar peguamnya kepada mahkamah. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azhari Yusof. 

  • oleh
  • Advertisement