Anda di sini

Isu politik Malaya, budaya kebencian tidak harus dibawa ke Sarawak: Soo

Advertisement
 Soo (duduk tengah) bersama yang lain pada sidang media di Sibu, semalam.
TOLAK BUDAYA KEBENCIAN: Soo (duduk tengah) bersama yang lain pada sidang media di Sibu, semalam.

SIBU: Isu politik di Malaya dan budaya penyebaran kebencian tidak harus dibawa masuk ke Sarawak, tegas Presiden Parti Reformasi Negeri Sarawak (STAR) Lina Soo.

Menurutnya, rakyat berbilang kaum dan agama di negeri ini telah lama hidup dalam keadaan harmoni dan bersatu padu.

“Pada masa ini, banyak isu yang menghangatkan keadaan sedang berlaku di Malaya seperti penulisan khat, Lynas, rang undang-undang pertukaran agama, Zakir Naik, video seks, kereta terbang dan kereta nasional ketiga.

“Jika kita ikut cara mereka dan terlibat sama (dengan isu-isu di Malaya pada masa ini), ia akan memecahbelahkan masyarakat kita. Kita tidak mahu hilang tumpuan dengan isu-isu ini yang tidak ada kena-mengena dengan kita.

“Mesej yang kita mahu sampaikan pada hari ini sangat jelas, jangan bawa isu Malaya dan budaya penyebaran kebencian ke Sarawak,” katanya pada sidang media, semalam.

Hadir sama Setiausaha Agung STAR Simon Tiong, bekas ADUN Pujut Fong Pau Teck dari Sarawak Independence Alliance (SIA), John Ting dari Pergerakan Pembebasan Sarawak (SLM) dan Thomson Ngu dari Defender Sarawak.

Katanya lagi, budaya penyebaran kebencian dalam kalangan masyarakat harus dihentikan yang mana jika tidak dibendung akan bertukar kepada keganasan.

“Apa yang menjadi kebimbangan situasi politik di Malaysia pada hari ini adalah budaya penyebaran kebencian yang boleh menjadi satu ancaman kepada masyarakat.

“Sarawak tidak boleh terjerumus ke dalam budaya ini, isu perkauman dan agama yang sering dimainkan di Malaya hari ini. Kita sebaliknya harus lebih fokus untuk membangunkan negeri ini ke arah yang lebih baik,” kata Soo.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak supaya memberi keutamaan kepada agenda Sarawak seperti memperjuangkan hak-hak Sarawak mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), minyak dan gas, isu tanah adat, kedaulatan dan sebagainya.

Katanya lagi, keperluan asas seperti air, elektrik, jalan raya, pendidikan dan sekolah daif adalah isu yang juga harus diberi perhatian oleh Sarawak.

“Keutamaan pembinaan negara yang mempunyai pelbagai etnik dan budaya, haruslah diperkukuhkan dengan perpaduan kaum dan keharmonian agama seiring dengan perkembangan ekonomi dan sosial.

“Peningkatan permusuhan antara kumpulan kaum sama ada etnik atau agama akan mengakibatkan konflik yang mungkin membawa kepada kegagalan untuk pembangunan negeri,” tambahnya.

Advertisement