Anda di sini

Ibu dari Sibu catat masa terpantas

Advertisement
 Pemenang-pemenang bersama Abang Wahap (lima kanan) dan tetamu lain pada majlis penyampaian hadiah Kuching Marathon 2019 semalam. — Gambar Muhammad Rais Sanusi
TAHNIAH: Pemenang-pemenang bersama Abang Wahap (lima kanan) dan tetamu lain pada majlis penyampaian hadiah Kuching Marathon 2019 semalam. — Gambar Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Usia mencecah setengah abad bukan penghalang kepada Ling Mee Eng, 50 tahun sekali lagi menaiki podium acara larian terbesar, Kuching Marathon 2019 (KM2019) yang berlangsung meriah di Padang Merdeka di sini semalam.

Ibu kepada dua anak berasal dari Sibu itu mencatat masa terpantas 01:42:57 saat untuk memenangi acara 21km veteran wanita.

“Saya sudah menyertai Kuching Marathon sejak 2014 dan ini tahun keenam. Sebelum ini, saya menyertai acara 42km sebelum beralih kepada 21km dalam tiga tahun terakhir dan memenanginya sejak itu.

“Pagi ini hujan namun ia bagus untuk saya kerana masa yang saya catat jauh lebih baik berbanding tahun lalu,” kata Ling ketika ditemui di sini semalam dan beliau turut menyasarkan menyertai marathon sempena Hari Kemerdekaan berlangsung di Sibu pada hujung bulan ini.

Sementara itu, pelari Kenya, Josphat Kiptanui Too berjaya memadam kekecewaan menduduki tempat kedua pada edisi lalu dengan muncul juara kategori 42km terbuka lelaki.

Josphat, 33, unggul menewaskan pelari-pelari lain dengan mencatat masa terbaiknya, 02:21:04 saat.

“Saya sangat gembira kerana berjaya muncul juara. Saya memang menjangkakan dapat menang berdasarkan kepada latihan yang saya lakukan.

“Ini kali kedua saya menyertai larian ini. Tahun ini masa yang saya catat tidak berapa bagus kerana cuaca agak panas namun ada hujan,” katanya sambil jenaka yang bakal bertanding di Bali, Indonesia selepas ini.

Bagi peserta dari Sri Lanka, Bogaha Kotuwe penyertaan sulungnya pada KM2019 nyata tidak sia-sia selepas berjaya menduduki tempat ketiga dalam kategori 42km terbuka wanita.

Lebih manis, beliau berjaya memecah dominasi pelari-pelari Kenya dalam kategori tersebut.

Walaupun masa dicatatnya tidak berapa baik dengan masa dicatat 3 jam 14 minit berbanding masa terbaiknya 2 jam 40 minit, namun ia sudah memadai untuk beliau berada di atas podium.

“Ini kali pertama saya menyertai larian di Malaysia. Penganjuran KM2019 sangat baik dan tersusun. Bandar raya Kuching dan orang-orang di sini juga sangat baik. Saya juga akan datang semula pada tahun hadapan,” katanya.

Senarai lengkap tiga pemenang terbaik kategori 42km terbuka lelaki ialah Josphat Kiptanui, Stephen Mungathia dan Kenneth Kibiwott Kandie. Manakala pemenang 42km terbuka wanita ialah Mildred Kinyanja, Purity Serem dan Bogaha Kotuwe.

Semua mereka menggondol hadiah wang tunai berjumlah RM9,000, RM4,500 dan RM2,500 bagi kedua kategori tersebut.

Pemenang kategori 21km terbuka lelaki ialah Matthew Samperu, Edwin Yebei dan Kipchirchir Lel sambil kategori 21km terbuka wanita dimenangi Alice Muthoni Koigi, Jackline Nzivo dan Edith Jepchumba Chemjor. Pemenang masing-masing membawa pulang wang tunai RM2,500, RM1,500 dan RM750.

Kategori 42km veteran lelaki menyaksikan tiga tempat teratas dirangkul Hillary Kipkering, Sefli Ahar dan Mohd Rashid Rahim manakala Ewe Bee Hong, Kona @ Lydia Liau dan Chang Chin Lian mengungguli kategori 42km veteran wanita. Semua pemenang menerima wang tunai RM2,000, RM1,000 dan RM700.

Kategori 21km veteran lelaki dimenangi Alex Tiong King, Mohd Sharif dan John Hale manakala 21km veteran wanita dirangkul Ling Mee Eng, Lee Leh Ha dan See Siow Mei. Mereka masing-masing menerima RM1,000, RM750 dan RM500.

Tiga pemenang kategori 10km terbuka lelaki ialah Rian Tze Mccawley, Nyon Siu Fat, Rahman Setiawan manakala bagi pemenang kategori wanita ialah Sri Julyani, Nureza dan Van Rooden. Pemenang kategori itu menggondol RM750, RM500 dan RM300.

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Datuk Abang Wahap Abang Julai, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Dr Ong Kong Swee mewakili Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Koji Nakamura.

Terdahulu itu, Abdul Karim melepaskan acara larian 42km jam 1 pagi semalam. Ini disusuli pelepasan peserta 21km jam 4 pagi diikuti larian 10km, jam 5.30 pagi dan larian santai 5km jam 6.30 pagi.

Edisi keenam KM2019 ini disertai lebih 10,000 peserta tempatan termasuk dari luar negara.

  • oleh
  • Advertisement