Anda di sini

Guru digesa guna pakai teknologi jadikan pendidikan lebih menarik

Advertisement
Manyin berjabat tangan dengan peserta persidangan sebaik tiba bagi majlis perasmian di Kuching hari ini. Gambar Chimon Upon
Manyin berjabat tangan dengan peserta persidangan sebaik tiba bagi majlis perasmian di Kuching hari ini. Gambar Chimon Upon

KUCHING: Warga pendidik di negeri ini digesa untuk mengambil cara yang menarik dalam  penggunaan meluas teknologi dalam persekitaran pendidikan. 

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata sekolah dan pendidikan tinggi hari ini di seluruh dunia adalah celik  teknologi. 

Justeru katanya, seluruh dunia termasuk Malaysia sentiasa menambah baik pendekatan pendidikan mereka untuk kekal relevan. 

“Bukan sahaja negara maju tetapi juga negara yang sedang membangun dan belum membangun beralih daripada kaedah tradisional kepada  pengunaan teknologi dan internet. 

“Malah golongan pendidik juga mengguna pembelajaran yang bersesuaian dalam pengajaran mereka dengan menggabungkan pembelajaran bersemuka dan atas talian. 

“Pendekatan ini akan menjadikan pendidikan sama supaya pelajar dari sekolah bandar dan luar bandar dapat menerima kualiti pendidikan yang sama,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmiannya sempena Persidangan Antarabangsa Pertama Pendidikan Dalam Ekosistem Digital yang berlangsung di sini hari ini. 

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Dato Sri Michael Manyin Jawong. 

Tambah Abang Johari, generasi muda hari ini harus dipupuk untuk mengejar pendidikan mereka ke era digital. 

Sebab itu katanya, Kerajaan Sarawak agresif mengguna pakai teknologi baharu untuk membangun ekosistem digital. 

“Sistem pendidikan telah dikenalpasti sebagai satu daripada tujuh Bidang Keberhasilan Utama dan menggunakan ekosistem digital untuk mengeluarkan modal insan yang berkualiti, berkemahiran dan berbakat. 

“Mereka ini akan menjadi enjin yang akan memandu dan memacu Sarawak ke tahap yang lebih tinggi,” katanya. 

Bercakap mengenai persidangan tersebut, ia merupakan anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak dengan kolaborasi Institut Pendidikan Guru (IPG) Malaysia, Kampus Batu Lintang. 

Bertemakan Blended Learning in Teacher Training-Innovation and Good Practices, persidangan julung kalinya ini berlangsung selama empat hari bermula 19 hingga 22 Ogos. 

Kira-kira 300 peserta menyertai persidangan ini dari 13 buah negara Malaysia, Bangladesh, Belgium, Bhutan, Denmark, Estonia, Finland, Perancis, Indonesia, Pakistan, Russia, Sri Lanka dan Switzerland. 

Persidangan ini bertujuan untuk menangani  proses transformasi ekosistem digital dengan membawa bersama pembuat polisi, pakar akademik, penyelidik, pelatih guru dan guru untuk berbincang dan bertukar pendapat. 

Hadir sama, Rektor UiTM Sarawak, Prof Dato Dr Jamil Hamali, Pengarah IPG Kampus Batu Lintang, Jamiran Salam serta lain-lain. 

  • oleh
  • Advertisement