Anda di sini

Dua maut dalam pertembungan motosikal

Advertisement
 Kedua-dua motosikal mangsa yang remuk akibat pertembungan di Jalan Kampung Sangki-Tebelu, Sebuyau kelmarin.
REMUK: Kedua-dua motosikal mangsa yang remuk akibat pertembungan di Jalan Kampung Sangki-Tebelu, Sebuyau kelmarin.

SIMUNJAN: Dua penunggang motosikal maut akibat kecederaan parah selepas motosikal mereka bertembung di Jalan Kampung Sangki-Tebelu, Sebuyau kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, kedua-dua mangsa dikenali sebagai Wan Muhammad Nazri Wan Rajuna, 18, dari Kampung Seberang dan Francis Umpau Nyareng, 52, dari Rumah Bayang Sungai Mulon, Maludam.

Menurutnya, kemalangan berlaku sekitar jam 10.30 pagi ketika Wan Muhammad yang menunggang motosikal dari arah Kampung Seberang menuju ke Kampung Tebelu dirempuh dari arah bertentangan.

"Pelanggaran itu menyebabkan kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah dan telah dihantar ke Hospital Simunjan sebelum kedua-duanya disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan.

"Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal yang ditunggangi Francis secara tiba-tiba memasuki laluan Wan Muhammad," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Bagaimanapun katanya, siasatan lanjut berhubung kejadian masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Siasatan di tempat kejadian telah dijalankan termasuk menemu bual saksi-saksi dan kedua-dua motosikal kini disita untuk pemeriksaan Jabatan Kimia dan PUSPAKOM," katanya.

Advertisement