Anda di sini

Dortmund melancarkan amaran awal dengan membelasah Augsburg 5-1

Advertisement
 Sancho (kiri) mengawal bola ketika bersaing dengan pemain Augsburg pada perlawanan Bundesliga Jerman di Signal Iduna Park, Dortmund kelmarin. — Gambar AFP
PRESTASI HEBAT: Sancho (kiri) mengawal bola ketika bersaing dengan pemain Augsburg pada perlawanan Bundesliga Jerman di Signal Iduna Park, Dortmund kelmarin. — Gambar AFP

BERLIN, Jerman: Jurulatih Borussia Dortmund, Lucien Favre berkata pasukannya tidak dapat melakukan yang lebih bagus lagi selepas membuat permulaan sempurna pada musim baharu Bundesliga Jerman dengan membelasah Augsburg 5-1 dan mendahului awal dalam saingan kejuaraan liga Sabtu lepas.

Jadon Sancho, yang menjaringkan gol pertama beliau musim ini ketika menewaskan Bayern Munich dalam perlawanan pembuka tirai musim bola sepak Jerman – Piala Super Jerman – adalah antara penjaring gol ketika Dortmund melonjak ke tangga teratas liga dengan kelebihan gol.

“Kami bermain dengan sangat baik dan menguasai permainan. Kami selayaknya menang,” kata Favre tetapi menambah pasukannya masih boleh diperbaiki di beberapa posisi.

“Apa yang penting ialah kami meningkat setiap hari,” kata beliau.

Selepas mensia-siakan pendahuluan sembilan mata dan juga terlepas peluang kejuaraan musim lepas, Dortmund berjanji untuk mengancam menamatkan penguasaan Bayern Munich sekali lagi pada musim ini.

Dortmund mendapat perangsang Jumaat lepas apabila Bayern tercicir dua mata apabila seri menentang Hertha Berlin pada perlawanan hari Jumaat.

Dortmund bagaimanapun tersentak dengan gol pertama Augsburg seawal minit pertama dari rembatan Florian Niederlechner tetapi mereka hanya mengambil masa dua minit untuk mengikat kedudukan apabila Paco Alcacer mengambil sepenuh peluang dari kesilapan penjaga gol Augsburg, Tomas Koubek.

Koubek sekali lagi melakukan kesilapan membolehkan Sancho menjaringkan gol kedua Dortmund selepas rehat.

Koubek melengkapkan ‘hatrik’ kesilapan pada penampilan sulung beliau dalam Bundesliga apabila gagal menangkap kemas bola, yang terjatuh di kaki Marco Reus untuk menjaringkan gol ketiga Dortmund.

Satu rembatan jarak jauh dari Alcacer dan gol sulung pemain baharu, Julian Brandt, melengkapkan jaringan Dortmund.

Pada perlawanan lain, bekas pengurus Huddersfield, David Wagner, memulakan tugas baharu sebagai jurulatih Schalke dengan keputusan seri tanpa jaringan menentang Borussia Moenchengladbach.

“Saya sudah mengharungi hari yang lebih teruk dalam karier saya. Pemain memberikan segala-galanya di benteng pertahanan. Kami masih memerlukan masa dalam sesi latihan tetapi hari ini, ia adalah tentang menunjukkan komitmen dan kesungguhan,” kata Wagner.

Bekas jurulatih Dortmund, Peter Bosz, menyaksikan pasukannya, Bayer Leverkusen menang tipis 3-2 ke atas pendatang baharu liga, Paderborn.

Leon Bailey membuka jaringan pada awal permainan sebelum Sven Michel mengikat kedudukan.

Satu tendangan lambung dari Kai Haverzt meletakkan Leverkusen kembali di hadapan tetapi Paderborn sekali lagi mengikat kedudukan menerusi gol Streli Mamba sebelum Kevin Volland menjaringkan gol kemenangan ketika berbaki 20 minit permainan.

Pada perlawanan lain, Werder Bremen, yang diramal menjadi pasukan yang mampu mencipta kejutan musim ini, memulakan musim baharu dengan buruk apabila tewas 1-3 kepada Fortuna Duesseldorf sementara Wolfsburg menewaskan pendatang baharu liga, Cologne 2-1 dan Freiburg menewaskan Mainz 3-0. — AFP

Advertisement