Anda di sini

Dasar pertanian pintar mampu permoden pertanian negara: Azmin

Advertisement
 Azmin ditemui media selepas World Stats Run 2019 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama
PERMODENAN PERTANIAN: Azmin ditemui media selepas World Stats Run 2019 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Dalam mengubah landskap pertanian tradisional kepada pertanian moden, satu dasar baharu berkaitan pertanian pintar atau smart farming akan diumumkan kerajaan dalam masa terdekat, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menurut Mohamed Azmin, pelaksanaan pertanian pintar di negara ini mempunyai potensi besar dengan adanya kemajuan pelbagai teknologi termasuk robotik.

“Pihak kementerian kini dalam proses rundingan dengan beberapa institusi kewangan tentang pembiayaan dengan kadar faedah paling minimum kepada petani kecil yang terlibat dengan pertanian pintar ini.

“Cuma kita mahu rakyat khususnya pekebun dan petani diberikan latihan dan bantuan untuk terlibat dalam sektor pertanian pintar,” katanya selepas menyertai larian World Stats Congress 2019 bagi kategori 5 kilometer di Dataran Merdeka di sini, semalam.

Kerajaan mahu melihat bagaimana sektor pertanian dapat dikembangkan dan tentunya pertanian pintar itu menjadi pendekatan baharu, katanya.

Terdahulu, Mohamed Azmin melepaskan lebih 7,000 peserta larian sempena Kongres Statistik Sedunia, Institut Statistik Antarabangsa (ISI WSC 2019) ke-62 yang diadakan buat julung kalinya di Malaysia, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, bermula semalam sehingga 23 Ogos. — Bernama

Advertisement