Anda di sini

Best of Asean Designers letak Sarawak dalam peta fesyen dunia- Abdul Karim

Advertisement
Abdul Karim (tengah) bersama (dari kanan) Christine, Orson, Hayden, Hii, Sharzede dan David bergambar bersama pereka fesyen Wan Bainun (lima kanan), Catherine Wong (empat kanan) dan para model
Abdul Karim (tengah) bersama (dari kanan) Christine, Orson, Hayden, Hii, Sharzede dan David bergambar bersama pereka fesyen Wan Bainun (lima kanan), Catherine Wong (empat kanan) dan para model

KUCHING: Pertunjukan fesyen Best of Asean Designers (BOAD19) yang akan diadakan pada 6 hingga 8 September ini di sini bakal meletakkan Sarawak dalam peta pereka fesyen di seluruh dunia.


Diadakan di Pusat Beli Belah tHe Spring dan Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), pertunjukan julung kali dianjurkan itu  bakal mengumpul 21 pereka fesyen terkenal dari serata Asia Tenggara memperagakan koleksi-koleksi terbaik mereka.


“Ini salah satu acara yang kita kenal pasti untuk menjadikan Sarawak terutama Kuching sebagai ‘City With The Soul’.


“Bila ada acara seperti ini diadakan, ia bukan hanya terhad kepada pereka fesyen dan model dari Sarawak, Kuching dan Malaysia. Ia ada komunitinya tersendiri. 


“Ia memberi mereka peluang untuk berkongsi idea dan kita berharap dengan menganjurkannya ia akan meletakkan Sarawak terutama Kuching dalam peta pereka fesyen di seluruh dunia,” kata Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah pada sidang media di salah sebuah hotel di sini hari ini.


Menurut Abdul Karim, seiring dengan kempen Tahun Melawat Sarawak 2019, BOAD19 menjadi salah satu aktiviti untuk menarik lebih ramai kedatangan pengunjung luar ke negeri ini.


Pada masa sama, ia menjadi usaha kerajaan negeri untuk mengangkat Sarawak terutama Kuching sebagai Bandar Kebudayaan dan Kesenian.


“Kita sedang cuba mempromosi Sarawak sebagai bandar yang mempunyai kehidupan, mempunyai warisan dan budaya.


“Kita mahu Sarawak dihargai sebagai budaya, warisan, makanan, masyarakatnya dan gaya hidup. Pengunjung yang datang juga yang baik dan mahu menghargai seni,” tambah Abdul Karim. 


Jelasnya, usaha itu juga seiring dengan hasrat kerajaan negeri menjadikan Kuching sebagai ‘affluence city’ atau bandar yang lengkap dengan segala keperluan termasuk hiburan untuk memastikan mesyarakat tempatan termasuk pengunjung luar terhibur.


Justeru itu katanya, pelbagai pendekatan telah dilaksanakan seperti membawa masuk penganjuran pelbagai program hiburan seperti Festival Muzik Hutan Hujan Dunia (RWMF), Festival Jazz Borneo, What About Kuching (WAK) dan banyak lagi.


Dedah beliau, jumlah pengunjung yang datang ke Sarawak pada tahun ini juga meningkat berbanding tahun lepas hasil pelbagai inisiatif dilaksanakan sehingga sekarang. 


Sementara itu, Pengasas Asean Fashion Designers Showcase, Hayden Ng berkata pereka-pereka fesyen yang mengambil bahagian dalam BOAD 2019 merupakan yang ternama di Negara masing-masing.


Katanya, BOAD menyediakan platform terbaik kepada pereka fesyen meperagakan koleksi terkini mereka.


Antara aktiviti BOAD19 termasuk Taste of Asean Showcase (6-8 September, tHe Spring), Bengkel Create Your Signature Style (7 September, tHe Spring), Designers Pop-up Stores (6-8 September, tHe Spring) dan BOAD19 Gala Nite (7 September, BCCK).


Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Hii Chang Kee, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak Sharzede Datu Salleh, Pengasas dan Presiden Asean Fashion Designers Showcase (Malaysia) Orson Liyu, Pengarah Eksekutif tHe Spring Datin Christine Ling dan wakil dari Fotroende Automobile David Lai.



 

  • oleh
  • Advertisement