Anda di sini

Anggota RELA diseru sentiasa perkukuh sistem penyampaian

Advertisement
 Kamarudin (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Nor Azizah Bakawi dari Pakan yang dinobatkan daerah terbaik sambil disaksikan Rini.
TERIMA KASIH: Kamarudin (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Nor Azizah Bakawi dari Pakan yang dinobatkan daerah terbaik sambil disaksikan Rini.

KUCHING: Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) harus sentiasa memperkukuhkan inisiatif dan melonjakkan kecemerlangan sistem penyampaian perkhidmatan melalui pendekatan yang efektif, sistematik dan berkesan kepada rakyat.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) RELA Malaysia Kamarudin Mohd Rapig menegaskan ia perlu bagi membolehkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) jabatan itu dapat dicapai.

“Anggota RELA merupakan penyumbang kepada pencapaian KPI jabatan setiap tahun.

“Justeru, penetapan petunjuk prestasi utama jabatan sentiasa diperhalusi dan dipersetujui bersama pengurusan tertinggi peringkat kementerian, agensi telah mengambil kira pandangan, keupayaan dan kebolehcapaian KPI tersebut,” katanya berucap pada Malam Perjumpaan Pengurusan Tertinggi RELA Malaysia bersama warga RELA Sarawak di Ibu Pejabat RELA Sarawak di sini kelmarin.

Kamarudin turut mengingatkan anggota RELA untuk menghayati perjuangan pemimpin terdahulu dalam membangunkan negara ini.

“RELA sendiri sudah 47 tahun dilahirkan dan pelbagai cabaran kita hadapi untuk bertahan hingga ke hari ini.

“Saya menyeru kepada semua warga RELA agar terus mengekalkan perpaduan kaum, keharmonian dan semoga semangat cintakan negara dan tanah air terus utuh dan kukuh,” katanya.

Beliau juga memuji komitmen anggota RELA di Sarawak yang sentiasa komited dalam menyampaikan khidmat terbaik kepada masyarakat walaupun berdepan pelbagai kesukaran terutama cabaran geografi.

“Tuan-tuan sudah berjaya membuktikan ia semua bukan halangan dalam mencapai KPI-KPI yang telah ditetapkan,” katanya lagi.

Pada majlis sama, Kamarudin turut menyampaikan sumbangan Bakti RELA kepada anggota yang kurang berkemampuan, sijil penghargaan kepada daerah yang cemerlang dan penyerahan replika kunci kenderaan.

Hadir sama Pengarah RELA Negeri Sarawak Rini Tupong, Penolong Pesuruh Jaya Kanan RELA Datuk Dr Paruwadi Musa dan Pengarah-pengarah RELA dari negeri-negeri lain.

Advertisement