BINTULU: Penyertaan dan kehadiran ahli-ahli Wanita Parti Rakyat Sarawak (PRS) dalam pertandingan sukan membuktikan sokongan dan sikap mengambil berat bukan sahaja terhadap kesihatan diri, bahkan memperkukuhkan hubungan antara ahli-ahli parti.
Presiden PRS Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing berkata, parti akan mendapat banyak manfaat daripada sokongan padu ahli-ahlinya dalam aktiviti-aktiviti yang dianjurkan.
"Itu amat penting bagi saya. Ia juga menunjukkan ahli-ahli wanita minat terhadap aktiviti sukan serta dapat membantu dalam melaksanakan kerja-kerja yang membawa kebaikan kepada parti," ujarnya pada majlis penutupan dan penyampaian hadiah Pertandingan Futsal Wanita PRS Piala Pusingan Ketua Wanita PRS Dato Sri Doris Sophia Brodie 2019 di Gelanggang Futsal Kelab Kidurong Bintulu, petang kelmarin.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan Sarawak itu turut menyeru ahli-ahli Wanita PRS agar memberi sokongan berterusan untuk mengukuhkan parti tersebut.
Katanya, PRS antara organisasi yang dapat menganjurkan acara sukan seumpamanya dengan berjaya melalui sokongan daripada semua ahlinya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh itu turut memuji semangat kesukanan tinggi yang ditunjukkan oleh ahli-ahli Wanita PRS yang menyertai kejohanan futsal selama dua hari itu sekali gus mempamerkan pemainan cukup baik serta kesungguhan.
"Bagi yang kalah, jangan susah hati kerana ada lagi pertandingan pada tahun hadapan untuk anda mencuba melakukan yang terbaik," katanya.
Sementara itu, Ketua Wanita PRS merangkap Setiausaha Politik Ketua Menteri Dato Sri Doris Sophia Brodie berkata, pertandingan futsal itu berjaya dianjurkan hasil dedikasi ahli Wanita PRS dan sokongan semua pihak dalam parti.
"Penglibatan golongan muda dalam menguruskan perlawanan serta sokongan semua pihak menjadikan pertandingan tahunan ini membawa memori indah," katanya.
Beliau berkata, sukan futsal yang diketengahkan bukan hanya dapat mencungkil ramai pemain terbaik Wanita PRS dalam sukan itu bahkan penyertaan pasukan juga meningkat kepada 19 pasukan pada tahun ini sekali gus berharap penyertaan akan meningkat lagi pada tahun hadapan.
Jelasnya, apa yang penting Wanita PRS dapat bersama, memupuk semangat kesukanan dan persahabatan antara wanita PRS seluruh Sarawak.
Turut hadir menyaksikan pertandingan tersebut ialah isteri Masing Puan Sri Datin Amar Corrine Masing, Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Wilson Ugak Kumbong, ADUN Samalaju Majang Renggi dan isteri, ADUN Pelagus Wilson Nyabong Ijang, Setiausaha Politik Ketua Menteri Edwin Banta dan Beatrice Kedoh.