Anda di sini

Pemindahan Jakarta ke Kalimantan beri manfaat kepada Sarawak - Abdul Karim

Advertisement
Abdul Karim (dua kanan), Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan  Datuk Dr Sim Kui Hian (tiga kiri) serta yang lain melepaskan peserta kategori penuh Kuching Marathon 2019 di Padang Merdeka, hari ini.
Abdul Karim (dua kanan), Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian (tiga kiri) serta yang lain melepaskan peserta kategori penuh Kuching Marathon 2019 di Padang Merdeka, hari ini.

KUCHING: Sarawak akan mendapat manfaat daripada pemindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan, kata Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

"Sudah tentu Sarawak akan mendapat manfaat daripada pemindahan ibu negara Indonesia kerana ia akan dipindah ke pulau yang sama dengan negeri kita," katanya selepas melepaskan peserta kategori penuh Kuching Marathon 2019 di Padang Merdeka, di sini hari ini.

Jumaat, Presiden Indonesia Joko Widodo secara rasmi mencadangkan kepada Parlimen untuk memindahkan ibu negara Jakarta yang terletak di Kepulauan Jawa ke Kalimantan di Kepulauan Borneo. 

Bandar yang dipilih belum didedahkan namun dijangka salah satu wilayah di Kepulauan Borneo iaitu Kalimantan Timur, Kalimantan Barat dan Kalimantan Selatan.

Sebelum ini Kementerian Perancangan Pembangunan Negara Indonesia menganggarkan projek pemindahan itu melibatkan kos $32.5 bilion dan dijangka siap menjelang 2024.

Abdul Karim berkata antara manfaat Sarawak daripada pemindahan itu ialah negeri ini berpotensi membekalkan tenaga elektrik ke Kalimantan kerana beliau percaya pembangunan ibu negara Indonesia itu memerlukan sumber tenaga elektrik yang banyak.

"Kita mempunyai banyak lebihan tenaga elektrik, kalau rundingan yang betul dibuat dengan kerajaan Indonesia, kita akan dapat mengeksport elektrik untuk membangunkan ibu negara (Indonesia) yang baharu ini," katanya.

Dari aspek pelancongan pula, beliau berkata lebih ramai pelancong dari Indonesia dijangka datang ke negeri ini yang semestinya memacu pembangunan pelancongan domestik kerana Kalimantan berkongsi sempadan dengan Sarawak.

Justeru ujarnya pemindahan Jakarta ke Kalimantan berita baik buat Sarawak dan tumpuan khusus akan diberikan apabila pembangunan ibu negara Indonesia yang baharu itu bermula.

"Selain itu, mungkin usahawan daripada Sarawak boleh juga terlibat dalam pembangunan ibu negara Indonesia baharu ini," kata Abdul Karim

Advertisement