Anda di sini

Lyon tekad kekalkan momentum yang diraih

Advertisement
 Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan Ligue 1 di antara Lyon dan Angers di Stadium Groupama di Lyon, Perancis. — Gambar Reuters
AKSI SEBENAR: Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan Ligue 1 di antara Lyon dan Angers di Stadium Groupama di Lyon, Perancis. — Gambar Reuters

LYON: Dua penyerang Lyon, Memphis Depay dan Moussa Dembele, masing-masing menjaringkan dua gol untuk membimbing pasukan mereka dalam kemenangan besar 6-0 ke atas Angers dalam Ligue 1 di Perancis kelmarin.

Pemain tengah Houssem Aouar dan muka baharu Jean Lucas turut membantu jurulatih Sylvinho dan pengarah sukan Juninho untuk meneruskan permulaan yang sempurna bagi mereka.

Sepanduk besar di belakang satu gawang yang memaparkan wajah Juninho dari Brazil dibentangkan sebelum perlawanan selepas bekas pemain tengah itu kembali ke kelab tersebut di mana dia memenangi tujuh kejuaraan liga lebih sedekad lalu.

Aouar, pemain muda yang melakukan hantaran kepada Depay untuk menjaringkan kedua-dua gol, memuji penyerang Belanda itu yang sudah menjaringkan tiga gol dalam dua perlawanan bagi kempen semasa.

“Dia seorang pemain yang hebat, jadi ia ternyata mudah bagi saya, dan seluruh pasukan untuk mencarinya dengan hantaran, kita tahu apabila dia mendapat peluang, ia kemungkinan besar akan mencecah belakang jaring,” kata Aouar kepada badan penyiaran Canal+.

“Kami sangat gembira dengan apa yang kami buat, kami fokus hingga ke wisel penamat, dan secara logiknya, apabila pasukan bermain seperti itu, ia akan menghasilkan keputusan seperti itu.”

Kedua-dua pihak menentang satu sama lain tidak sampai 48 jam selepas Jeff Reine-Adelaide melengkapkan perpindahan bernilai 25 juta euro (RM123 juta).

Majikan baharu pemain tengah itu mendahului awal menerusi cubaan Aouar pada minit ke-11.

Produk akademi Lyon berusia 21 tahun itu memintas hantaran selekeh Romain Thomas sebelum dia meluru ke depan dan menewaskan penjaga gol Ludovic Butelle.

Gol kedua mereka tiba pada minit ke-36 apabila Dembele mengambil kesempatan sepenuhnya daripada bola yang melantun balik.

Hantaran yang cuba dibuat oleh Lucas Tousart terlencong ke laluan Dembele di dalam kotak penalti Angers dan bekas penyerang Celtic itu berjaya mengatasi Mateo Pavlovic.

Dua gol Depay dijaringkan dalam masa tujuh minit sebelum dan selepas waktu rehat.

Aouar menjadi pengumpan bola kepada Depay untuk kedua-dua jaringan, yang kedua satu hantaran tinggi yang cantik sebelum pemain antarabangsa Belanda itu dengan tenang melakukan penyudah walaupun pemeriksaan VAR mendapati pelanggaran yang tidak membabitkan bola di antara Dembele dengan pemain pertahanan kanan Vincent Maneau.

Dembele menjaringkan gol keduanya 25 minit sebelum tamat perlawanan.

Pemain antarabangsa remaja Perancis itu menyambut bola yang terlepas dan menolak bola dengan mudah melepasi Butelle.

Kemenangan besar itu disahkan 18 minit sebelum tamat apabila pemain gantian Jean Lucas menjaringkan gol pertamanya untuk kelab sejak dia tiba dari Flamengo pada musim panas. — AFP

Advertisement