Anda di sini

Kuching Marathon 2019 meriah, catat pelbagai rekod

Advertisement
Abang Wahap (kiri) melepaskan larian santai 5km. – Gambar oleh Muhammad Rais Sanusi
Abang Wahap (kiri) melepaskan larian santai 5km. – Gambar oleh Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Usia mencecah setengah abad bukan penghalang kepada Ling Mee Eng (50 tahun) menaiki podium larian terbesar, Kuching Marathon 2019 (KM2019) yang berlangsung meriah hari ini.

Ibu kepada anak dua berasal dari Sibu itu mencatat masa terpantas 01:42:57 saat untuk memenangi acara 21 kilometer veteran wanita.

“Saya sudah menyertai Kuching Marathon sejak 2014 dan ini tahun keenam. Sebelum ini, saya menyertai acara 42km sebelum beralih kepada 21km dalam tiga tahun terakhir dan memenanginya sejak itu.

“Pagi ini hujan namun ia bagus untuk saya kerana masa yang saya catat jauh lebih baik berbanding tahun lepas,” kata Ling ketika ditemui yang mensasarkan untuk menyertai marathon sempena Hari Kemerdekaan berlangsung di Sibu pada hujung bulan ini.

Para pemenang bergambar beramai-ramai dengan Abang Wahap (lima kanan) dan tetamu lain. - Gambar oleh Muhammad Rais Sanusi
Para pemenang bergambar beramai-ramai dengan Abang Wahap (lima kanan) dan tetamu lain. - Gambar oleh Muhammad Rais Sanusi

Sementara itu, pelari Kenya, Josphat Kiptanui Too berjaya memadam kekecewaan menduduki tempat kedua pada edisi lepas dengan muncul johan kategori 42km Terbuka Lelaki kali ini.

Josphat, 33, unggul menewaskan pelari lain dengan mencatat masa terbaiknya, 02:21:04 saat.

“Saya sangat gembira kerana berjaya muncul juara. Saya memang menjangkakan dapat menang berdasarkan kepada latihan yang saya lakukan. 

“Ini kali kedua saya sertai larian ini. Tahun ini masa yang saya catat tidak berapa bagus kerana cuaca agak panas,” katanya yang akan bertanding di Bali, Indonesia selepas ini.

Peserta larian 5km tidak sabar untuk dilepaskan. - Gambar oleh Muhammad Rais Sanusi
Peserta larian 5km tidak sabar untuk dilepaskan. - Gambar oleh Muhammad Rais Sanusi

Bagi peserta dari Sri Lanka, Bogaha Kotuwe penyertaan sulungnya dalam KM2019 nyata tidak sia-sia selepas berjaya menduduki tempat ketiga dalam kategori 42km Terbuka Wanita.

Lebih manis, beliau berjaya memecah dominasi pelari Kenya dalam kategori tersebut.

Walaupun masa dicatatnya tidak berapa baik dengan masa dicatat 3 jam 14 minit berbanding masa terbaiknya 2 jam 40 minit, namun ia sudah memadai untuk beliau berada di atas podium.

“Ini kali pertama saya menyertai larian di Malaysia. Penganjuran KM2019 sangat baik dan tersusun. Kuching dan orang-orang di sini juga sangat baik. Saya juga akan datang semula pada tahun hadapan,” katanya.

Sekitar Kuching Marathon 2019. - Gambar oleh Muhammad Rais Sanusi

Senarai lengkap tiga pemenang kategori 42km Terbuka Lelaki ialah Josphat Kiptanui, Stephen Mungathia dan Kenneth Kibiwott Kandie. Manakala pemenang 42km Terbuka Wanita ialah Mildred Kinyanja, Purity Serem dan Bogaha Kotuwe.

Kesemua mereka menggondol hadiah wang tunai berjumlah RM9,000, RM4,500 dan RM2,500 bagi kedua kategori tersebut.

Pemenang kategori 21km Terbuka Lelaki ialah Matthew Samperu, Edwin Yebei dan Kipchirchir Lel sambil kategori  21km Terbuka Wanita dimenangi Alice Muthoni Koigi, Jackline Nzivo dan Edith Jepchumba Chemjor.

Bagi kategori ini, pemenang membawa pulang wang tunai RM2,500, RM1,500 dan RM750.

Sekitar Kuching Marathon 2019. - Gambar oleh Muhammad Rais Sanusi

Bagi kategori 42km veteran lelaki, tiga tempat teratas dirangkul Hillary Kipkering, Sefli Ahar dan Mohd Rashid Rahim manakala Ewe Bee Hong, Kona@Lydia Liau dan Chang Chin Lian mengungguli kategori 42km veteran wanita.

Kesemua pemenang menerima wang tunai RM2,000, RM1,000 dan RM700.

Kategori 21km veteran lelaki pula dimenangi Alex Tiong King Hee, Mohd Sharif dan John Hale manakala 21km veteran wanita dirangkul Ling Mee Eng, Lee Leh Ha dan See Siow Mei.

Mereka menerima RM1,000, RM750 dan RM500.

Sekitar Kuching Marathon 2019. - Gambar oleh Muhammad Rais Sanusi

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara, Datuk Abang Wahap Abang Julai, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak Dr Ong Kong Swee mewakili Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Koji Nakamura.

Terdahulu, Abdul Karim melepaskan larian 42km pada pukul 1 pagi.

Ia disusuli dengan pelepasan peserta 21km pada pukul 4 pagi, diikuti larian 10km pada pukul 5.30 pagi dan larian santai 5km pada pukul 6.30 pagi.

Sekitar Kuching Marathon 2019. - Gambar oleh Muhammad Rais Sanusi
Sekitar Kuching Marathon 2019. - Gambar oleh Muhammad Rais Sanusi
Sekitar Kuching Marathon 2019. - Gambar oleh Muhammad Rais Sanusi
Sekitar Kuching Marathon 2019. - Gambar oleh Muhammad Rais Sanusi
Sekitar Kuching Marathon 2019. - Gambar oleh Muhammad Rais Sanusi
  • oleh
  • Advertisement